Ada pihak takut guna perkataan Islam

- Advertisement -

BESUT: Sebelum ini ada kumpulan dalam PAS yang tidak mahu diuar-uarkan perkataan Islam kerana bimbang orang ramai tidak sokong parti itu.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kumpulan terbabit mahu mengelakkan disebut perkataan Islam kerana bimbang tidak mendapat sokongan.

Katanya mereka mahu menguar-uarkan perkataan kebajikan sebagai menggantikan istilah Islam yang menjadikan teras perjuangan PAS kerana bimbang tidak mendapat sokongan terutamanya orang bukan Islam.

- Advertisement -

“Akhirnya kumpulan itu tinggalkan PAS dan tubuh parti lain yang entah nama parti apa. Sedangkan perjuangan Islam perlu istiqamah,” katanya pada Ijtimak Tarbawi 8.0 anjuran Pemuda PAS Malaysia di Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut, dekat Jertih hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pusat Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari dan pimpinan Dewan Pemuda Malaysia dan negeri negeri.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, sikap wala’ dan taat penting dalam perjuangan untuk mencapai kemenangan.

“Misalnya di Besut pernah PAS calonkan muslimat sebagai calon namun pimpinan tempatan dan penyokong tidak terima menyebabkan calon PAS terbabit tidak menang.

“Sedangkan di Pasir Mas, PAS membenarkan Dato Ibrahim Ali bertanding di atas tiket PAS, dan menang kerana mendapat sokongan pemimpin PAS dan pengikut..

“Biarpun pengundi Pasir Mas tahu Ibrahim sering melompat parti namun mereka tetap undi calon PAS kerana mereka taat dan wala’ kepada keputusan pimpinan. Inilah penting sikap wala’ dan taat untuk meraih kemenangan,” katanya.

Menurutnya juga kajian Ilmuan mendapati pengundi Cina memilih calon berdasarkan ideologi tanpa mengira siapa calon yang bertanding mewakili DAP sama ada orang Cina atau bangsa lain.

Sebaliknya pengundi Melayu didapati mengundi berdasarkan kepada calon dan bukan ideologi perjuangan. – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -