Usaha dan cabaran PAS gubal perundangan syariah

- Advertisement -

BESUT: Fiqh al-Taqnin merupakan satu Siyaghatul Ahkam yakni penggubalan ketetapan hukum dalam bentuk artikel perundangan yang tersusun selari tuntutan atau ketetapan syariah. 

Pengarah Akademi Latihan Kepimpinan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mohd Daud menjelaskan, pembentukan perundangan ini menjadikan syariah berada di martabat yang tinggi. 

Di mana tegasnya, perundangan ini tidak sama sebagaimana undang-undang digubal penjajah atau Barat yang semestinya berada di bawah daripada ketetapan syariah tersebut. 

Menurut beliau, penggubalan perundangan dalam menegakkan sebuah daulah berlandaskan syariah itu juga mestilah mengambil sumber hukum-Nya iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas. 

Perkara itu dibentangkan beliau dalam kuliah bertajuk “Fiqh al-Taqnin” pada Ijtimak Tarbawi 8.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kompleks Pendidikan Tahfiz An-Nur, di sini semalam. 

Beliau mengupas Perlembagaan Madinah di mana mengandungi 47 fasal dengan 24 fasal daripadanya adalah berkenaan hal ehwal orang bukan-Islam serta sebagai model intipati dan proses pembentukan atau penggubalan undang-undang tersebut. 

“Di Madinah ini 4,000 manusianya majoritinya adalah Yahudi-Yahudi. Umat Islam 1,500, minoriti. Sebab itu dalam fasa Sahifah Madinah, 47 fasal (semuanya), 24 fasal itu adalah dikhususkan kepada non-Muslim,” ujarnya. 

Contoh tersebut dijadikan penerangan beliau mengenai penetapan hukum dalam satu-satu taqnin untuk menjadi ketetapan, selenggara atau peletakan nas khusus dalam perlembagaan atau perundangan tertinggi negara. 

Jelasnya, sejarah Islam merekodkan betapa taqnin telah berlaku sebagai proses negara dalam zaman-zaman pemerintahan sehingga ia menjadi dokumen penting sebagaimana kitab al-Muwatta’ oleh Imam Malik RH. 

Menurut beliau, proses sama berlaku juga sebagaimana pentadbiran Islam yang masuk ke negara ini dahulu antaranya Kedah pada tahun 1136 dan Kelantan tahun 1181, serta Melaka tahun 1262 dan Terengganu tahun 1303. 

“Dia bila masuk Tanah Melayu, dia bincang pasal hukum yang berkaitan dengan hukum adat, yang berkaitan dengan hukum beribadat, hukum-hukum ibadatlah. Bukan hukum muamalat kerana banyak di Tanah Melayu ini, pada masa itu, adat-adat kita bercampur Dengan adat-adat dan daripada India dan macam-macam ya. 

“Jadi pendakwah yang datang mereka mula melihat dan ingin memperbaiki ‘uruf di tempat kita dengan mereka ini melaksanakan beberapa pelaksanaan yang dianggap sebagai pentadwinan, mereka menulis sikit-sikit daripada kertas, daripada buku untuk akhirnya kadang-kadang benda itu disuarakan kepada pemerintah pada masa itu dan pemerintah pada masa itu ada yang terima ada yang tidak terima.  

“Jadi untuk memproses mentakninkan satu-satu perkara ini proses yang bukan senang. Proses dia proses payah. Dan kalau kita bincang pasal proses untuk mentaqninkan satu-satu hukum kita tengok sekarang inilah kita tak tengok zaman dulu. Zaman dulu proses nak taqninkan hukum ini ada di batu bersurat, ada di batu, ada di pelepah tamar, ditulis. 

“Selepas daripada taqnin, ada tadwin. Dan pelaksanaan hukum-hukum Islam ini berjalan begitu hebat di Tanah Melayu kita. Kita tengok di batu bersurat 1303 di Terengganu ha telah pun ada satu proses pentaqninan yang menyatakan bahawa adanya proses kodifikasi yang berlaku pada masa itu. 

Sehingga adanya proses tadwin pembukuan. Dan pembukuan itu ada berlaku di batu, ada berlaku di pelepah apa nama di kayu dan ada berlaku di kertas-kertas di apa kayu-kayu yang ditulis,” terang beliau kepada proses melibatkan antara Sultan dan para ulamak pada masa itu. 

Beliau mengulas selain penglibatan banyak pihak dalam proses taqnin tersebut, ia juga melibatkan latarbelakang keperluan menguasai ilmu syariat bagi membolehkan tujuan atau maqasid serta maslahahnya tercapai.

Untuk itu juga tegasnya, mereka yang layak bersama dalam penggubalan tersebut adalah ulil amri di mana status tersebut adalah merujuk kepada pemerintah atau ahli politik yang berpegang kepada perintah Allah SWT. 

“Kita orang PAS ini, kalau tanya RUU355, tanya EKJS, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, semua kita boleh jawab, semua kita faham. Kita dah buat satu proses tadarruj. Ada marhalah step by step dia. Untuk kita tukar daripada masyarakat yang sekular kepada masyarakat benar-benar Islam. Sebab itu kita nak tadarruj.  

“Yang itu kena melalui ta’lim wal irsyad, taqnin wa tadwin, baru tatbit wa tanfiz. Alhamdulillah di Kelantan Darul Naim setelah daripada Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini diluluskan di Dewan Undangan Negeri. Selepas daripada itu dita’lim wal irsyad, rakyat Kelantan diadakan program hududullah setiap tahun. Sampai hari ini program Hududullah. 

“Semasa kita mengambil alih kerajaan negeri Kelantan, maka tahun 1992 pada bulan Mei Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Datuk Bentara Setia pada tujuh Mei dia telah tulis satu surat rasmi daripada kerajaan negeri minta kepada Perdana Menteri pada masa itu Tun Mahathir untuk melaksanakan satu perundangan syariah yang berkaitan dengan jenayah ini, dalam kanun jenayah syariah ini. 

“Pada 15 Ogos 1992, Kerajaan Persekutuan hantar surat tak perlu laksana undang-undang PAS. Dia sebut undang-undang PAS pada masa itu. Lalu pada tahun 1993, 25 November kerajaan negeri melalui persidangan Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Dua, 1993.  

“Dan setelah daripada itu pada tahun 1994 bulan Mac tahun depan 1994, kita hantar surat kepada Perdana Menteri menyatakan Dewan Undangan Negeri telah meluluskan EKJS ini. Dan ingin membuat beberapa permohonan pelaksanaan dalam bidang kuasa kerajaan negeri. 

“Lalu pada 15 Julai 1994 hantar surat Tun Mahathir yang jadi PM pada masa itu hantar surat tak benar. Kalau Kelantan laksana juga akan diambil tindakan yang tegas. Kita tak boleh buat apa. Pada tahun 1994, November Allahyarham Tok Guru menulis enam helai surat menyatakan bahawa perundangan syariah ini bukan hudud PAS, bukan. 

“Ini adalah merupakan suatu ketuanan perundangan Islam yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Persekutuan, bahkan undang-undang Mahkamah Syariah perlu dimartabatkan. Bukan hanya Undang-undang Sivil dan perundangan Syariah ini mesti diletakkan di tempat yang tertinggi di atasnya. 

“Ini susur galur, proses kita nak taqninkan perundangan syariah kerajaan negeri kita. Sehinggakan alhamdulillah kita dapat juga kodifikasi warta dan gazet laksana dan kuat kuasa,” ujarnya mengupas panjang lebar perkara tersebut. 

Beliau mengimbau usaha PAS meninggikan perundangan syariah menerusi usaha juga di Parlimen serta melibatkan pimpinan Kerajaan Pusat, selain cabaran penentangan daripada DAP dan sekutunya. – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -