Tidak sanggup serah semula mandat kepada PH

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Arahan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin serta pendirian PAS Pusat untuk memperkukuh agenda penyatuan ummah, mestilah dilihat secara lebih holistik.

Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ini terutama dalam mendepani cabaran politik semasa pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dalam mengenal siapa musuh sebenar kita, semua pihak haruslah menginsafi, dan mengingat semula titik awal bermulanya krisis politik hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Menurut beliau, faktanya kemelut politik ini berlaku akibat kebobrokan yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), yang gagal segagal-gagalnya dalam mengemudi kepimpinan negara sepanjang 22 bulan.

Tambahnya, tidak ada mana-mana rakyat Malaysia, khususnya umat Islam serta anak Melayu dan Bumiputera yang sanggup menyerahkan semula mandat pemerintahan negara kepada PH.

“Cukuplah bagaimana keharmonian dan perpaduan negara digugat, perkara-perkara sensitif berkaitan hak Melayu dan Bumiputera serta umat Islam disentuh, janji-janji manifesto dikhianati, dan pemimpin-pemimpin mereka yang dituduh di mahkamah dilepaskan,” katanya.

Menurutnya, hanya mereka yang tidak waras sahaja yang mahu PH kembali mentadbir semula.

“Maka dalam berhadapan musuh sebenar kita, hanya penyatuan ummah, terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam, serta bukan Islam yang tidak ekstrem, yang menjadi kunci dalam mendepani mereka,” tambahnya.

Katanya, sebarang tindakan menjadikan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi tatkala kedudukan dan kuasa orang Islam yang kukuh dalam pemerintahan begitu diperlukan di Malaysia, adalah amat tidak wajar.

“Tindakan ini hanya akan memberi kelebihan kepada musuh sebenar kita mengalahkan kita, dan merisikokan negara ke arah yang lebih buruk,” ujarnya.

Oleh itu, ujarnya Pemuda PAS Selangor menggesa semua pihak bermuhasabah dan mencari titik pertemuan dalam memperkukuh perpaduan dan penyatuan umat Islam.

“Kita bersama membina kerajaan Malaysia yang sejahtera, adil, dan berintegriti.

“Ingatlah siapa musuh sebenar kita, jangan sampai mereka kembali berkuasa kerana ego dan dendam kita yang tidak berkesudahan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/9/2022

- Advertisement -