Anak muda serik sokong PH

Oleh M FAQIH & MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KETIKA ditanya betulkah anak-anak muda sekarang tidak hiraukan politik, seorang usahawan muda menjawab, tidak semuanya begitu.

Peniaga pakaian dan makanan itu berusia 29 tahun, sekarang membina perniagaan di tempat kelahiran ibunya di Kuala Terengganu.

Mohammad Idris Halim lepasan UiTM Sabah dalam bidang perniagaan. Beliau memilih bekerja sendiri selepas ramai rakannya bekerja di sektor awam dan swasta.

Advertisement

Beliau berhujah orang muda tidak faham kenapa orang politik sering berbalah sesama sendiri.

“Apa yang anak muda mahu apa yang kerajaan dapat bantu mereka. Cuba bayangkan ramai yang tamat belajar, belum ada pekerjaan tetap.

“Rumah dan kereta usah cerita. Anak muda melihat apa yang mampu kerajaan lakukan unutk membantu mereka. Alhamdulillah di Terengganu saya dibantu modal untuk memulakan perniagaan.

“Hasil bantuan itu membolehkan saya memulakan perniagaan selepas kembali ke kampung menjelang pilihan raya umum (PRU) lepas. Sebelum ini saya bekerja di Cyeberjaya,” katanya ketika ditemui di Kuala Nerus baru-baru ini.

Ditanya adakah bantuan serupa tidak diberi ketika era Barisan Nasional (BN) mentadbir Terengganu, jawabnya ringkas ada.

Bagaimanapun bantuan itu hanya tertompok dalam kalangan penyokong Umno dan BN. Rakyat yang tidak menyokong parti itu usah harap dapat bantuan.

Mohammad Idris Halim

Namun kerajaan Terengganu sekarang tidak memilih bulu. Kata Idris, mereka yang layak diberi bantuan.

Terpengaruh kempen PH

Anak muda terbabit juga mengakui pernah terpengaruh dengan janji Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU lepas. Katanya ramai rakan terpengaruh dengan janji manis PH termasuk melupuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sekarang rata-rata anak muda sudah serik dengan janji PH. Ada kawan-kawan sebut kalau kerajaan tidak hirau anak muda, kita tukar kerajaan lain puka,” ujarnya.

Namun berdasar situasi yang berlaku sekarang nampaknya anak-anak muda menghampiri semula politik. Hampir dua pertiga daripada mereka yang menyertai himpunan dan program mega kebelakangan ini kelihatan anak-anak muda.

Banyak dalil yang ditemui. Ia ditemui di Kota Bharu, Alor Setar dan Kuala Terengganu. Begitu juga di tempat-tempat lain.

Ketika pelancaran Perikatan Nasional (PN) di Tanah Merah, Kelantan pada 2 Julai lepas lebih separuh yang hadir anak-anak muda.

Begitu juga pada sambutan ulangtahun PN kedua di Kota Bharu juga kelibat anak mudah lebih ramai. Di Alor Setar muktamar PAS yang berlangsung di Kota Sarang Semut pada 3 dan 4 September lepas juga ramai anak muda.

Dan di Kuala Nerus, Terengganu pada pra Himpunan Teguh Pertahan pada 22 dan 23 September lepas juga ditemui ramai anak muda.

Kelibat mereka boleh dilihat sama program membabitkan Dewan Muslimat, Ameerah atau pemuda. Lebih membanggakan lagi pasangan muda bawa anak kecil ke tempat perhimpunan.

Ada yang bawa atuk dan nenek bersama. Begitu juga golongan pelajar sekolah dan mahasiswa. Mereka lah yang mewakili kelompok pengundi muda.

Berdasar isyarat itu bolehkah kita simpulkan bukan semua anak muda tolak politik. Namun tidak dapat dinafikan ada yang menjauhinya. Anak-anak muda yang tidak hiraukan politik tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling.

Berdasar kepada perkembangan itu bermakna masih ramai anak muda mengikuti politik negara. Mereka lebih cepat tahu perkembangan semasa mengenai isu dalam dan luar negara.

Sebelum berita keluar di radio atau televisyen mereka sudah tahu. Berdasar pemerhatian itu, dakwaan mengatakan anak muda menolak politik agak tidak tepat.

Tidak keluar mengundi

Petunjuk yang sering digunakan sebelum ini tidak ramai keluar mengundi di Johor. Pengundi 18 ketika itu baharu dapat kelulusan mengundi. Malangnya tidak ramai keluar menunaikan tanggungjawab tersebut.

Itu tidak dapat dinafikan. Ia berlaku ada sebab musababnya. Antaranya ketika itu suasana negara masih lagi berada dalam mood Covid-19.

Prosedur Operasi Standard (SOP) masih banyak lagi yang perlu dipatuhi. Selain itu kekangan untuk balik mengundi bagi mereka yang bekerja di ibu kota.

Fenomena pilihan raya yang terlalu kerap juga membosankan mereka. Hanya empat bulan selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tiba-tiba rakyat Johor juga diarah mengundi.

Ia jelas disengajakan, bukan kerana terpaksa seperti kematian wakil rakyat atau parlimen bubar. Tidakkah elemen-elemen seperti itu membuatkan ramai anak muda jemu.

Apabila anak muda kurang berminat keluar mengundi kerajaan kena cari asbab. Tidak boleh biarkan sentimen itu berterusan. Bahaya masa hadapan politik negara.

Ini kerana bukan semua anak muda bersikap begitu. Bagi anak muda kaum bukan Melayu, mereka nampaknya lebih ghairah. Sebelum pelaksanaan undi automatik, jumlah pengundi baharu dalam kalangan mereka lebih besar.

Minat mereka untuk menyertai pilihan raya begitu tinggi. Tidak seperti anak muda Melayu. Mereka memberi pelbagai alasan untuk tidak mendaftar sebagai pemilih.

Ada yang kata tiada masa, tidak sempat dan aneka alasan. Namun, setelah kerajaan melaksana daftar automatik, dan nama mereka berada dalam daftar pemilih, ada lagi alasan lain diberi untuk tidak keluar mengundi.

Alasannya berulang-ulang sejak dahulu sehingga sekarang. Kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh biarkan keadaan begitu.

Kesannya besar kepada politik keseimbangan kaum di negara kita. Sehingga sekarang belum kelihatan SPR aktif turun padang menjalankan kempen kesedaran mengundi.

Gerakan kesedaran perlu berakar umbi sehingga ke bawah. Tidak boleh sekadar dibuat iklan di layar televisyen sahaja. Penonton hanya lihat sepintas lalu sahaja.

Perlu ada gerakan kesedaran di peringkat bawah. SPR boleh jengok di institusi pengajian tinggi, di kampung atau desa. – HARAKAHDAILY 26/9/2022