Rahsia kerajaan PN Kedah terus kekal

- Advertisement -

Oleh WARTAWAN HARAKAH

KUALA NERUS:
Kerjasama di bawah Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan di beberapa negeri sebelum ini tetap kekal sehingga sekarang bila mana jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dikuasai Umno kecil.

Bagaimanapun apabila Umno/Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kerusi masalah mulai timbul seperti mana berlaku di Perak, Melaka dan Johor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Mohammad Sanusi Md Nor berkata, di negeri-negeri yang mempunyai bilangan kerusi BN banyak mereka memulakan gerakan bagi menyingkirkan rakan-rakan lain dalam PN.

- Advertisement -

Katanya, di Perak usaha dilakukan sehingga berjaya menukarkan Menteri Besar dariapda Bersatu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu melalui undi percaya di Dun.

Begitu juga kata beliau berlaku di Melaka dan Johor, biarpun Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada Umno, namun terdapat parti PN dalam barisan Exco kerajaan negeri di negeri terbabit.

“Di Johor dan Melaka mereka membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan sehingga menyebabkan kerajaan PN yang dibentuk sebelum itu gagal dipertahankan.

“Sedangkan kerajaan PN di Kedah terus kekal utuh sehingga sekarang kerana Umno hanya mempunyai dua Adun sahaja. Dan seorang daripada Adun Umno dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri,” katanya pada ceramah pra Himpunan Teguh Pertahan di perkarangan Kompleks Sukan Negeri di sini malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Pesuruhajaya PAS Terengganu Senator Dato’ Hussin Awang dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, begitu juga situasi berlaku di peringkat Persekutuan apabila Perdana Menteri bertukar kepada Umno pada Ogos 2021, parti itu nampaknya mulai berubah sikap.

Sedangkan katanya sebelum itu pentadbiran kerajaan PN berjalan lancar.

“Keadaan serupa berlaku di Terengganu di mana pada ingatan saya sehingga sekarang pemimpin Umno negeri itu sudah empat lagi mengumumkan mahu berdepan dengan PAS pada PRU akan datang,” katanya.

Dr Ahmad Samsuri sebelum itu berkata, kerajaan PAS Terengganu tidak pernah menjadikan elemen ideologi politik bagi menyekat bantuan kepada rakyat.

Menurutya bantuan tetap diberi kepada rakyat berdasar kepada kelayakan mereka dan bukan kerana faktor politik.

Jadi katanya kerajaa negeri yang ada sekarang perlu dipertahankan pada PRU akan datang bagi membolehkan agenda membantu rakyat dapat diteruskan. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -