Iktibar agung surah al-Isra’ (13)

- Advertisement -

PARA Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T masing-masing diberikan kelebihan yang tidak sama antara satu sama lain. Selain itu, berhala yang disembah tidak dapat memberi sebarang manfaat kepada sesiapa yang menyembahnya kerana kuasa yang sebenar ada pada Allah. 

Begitu juga dengan orang-orang soleh di mana manusia menyembah dan bergantung harap padanya sedangkan dia tidak dapat memberi syafaat pada hari akhirat kerana dia sendiri berasa bimbang dengan azab Allah dan sentiasa mengharapkan rahmat-Nya. 

Setiap umat yang tidak mengikuti seruan atau ajaran yang dibawa oleh Nabi dan Rasul akan dimusnahkan oleh Allah. Hakikatnya Allah telah menghantar bukti atau mukjizat kebenaran Nabi Saleh kepada kaum Tsamud iaitu seekor unta yang besar yang keluar daripada batu. Namun, mereka tetap tidak mahu beriman dengan kebenaran tersebut.

Kuasa Allah mengatasi segala-galanya

- Advertisement -

وَاِذْ قُلْنَا لَكَ اِنَّ رَبَّكَ اَحَاطَ بِالنَّاسِۗ وَمَا جَعَلْنَا الرُّءْيَا الَّتِيْٓ اَرَيْنٰكَ اِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُوْنَةَ فِى الْقُرْاٰنِ ۗ وَنُخَوِّفُهُمْۙ فَمَا يَزِيْدُهُمْ اِلَّا طُغْيَانًا كَبِيْرًا ࣖ

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu, “Sungguh, (ilmu) Tuhanmu meliputi seluruh manusia.” Dan Kami tidak menjadikan mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon yang terkutuk (zaqqum) dalam al-Quran. Dan Kami menakut-nakuti mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka.”

(al-Isra’: 60)

Allah S.W.T menguasai manusia seluruhnya termasuk makhluk-makhluk yang lain dengan ilmu-Nya. Dia mengetahui apa-apa yang berlaku pada masa lalu, masa kini dan masa hadapan. Berbeza dengan ilmu manusia yang terhad kepada masa lalu dan masa kini sahaja bahkan ia bergantung kepada sumber maklumat seperti internet. Namun, ilmu Allah meliputi masa hadapan yang disebut sebagai ilmu ghaib di mana Nabi sendiri tidak mengetahuinya. 

Pernah ditanya kepada Rasulullah S.A.W mengenai apa-apa perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Baginda S.A.W tidak mengetahuinya kerana ia bukan termasuk dalam bidang kuasanya tetapi dalam ilmu-Nya. 

Dalam ayat-ayat lain, dinyatakan bahawa Allah berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dia boleh melakukan perkara yang mencarikkan adat dan tidak terikat dengan hukum ‘natural law’ atau hukum sebab dan akibat. 

Antara contoh yang menunjukkan bahawa sesuatu hal boleh berlaku hanya dengan kuasa-Nya yang mengatasi segala-galanya adalah seperti berikut:  

1. Pisau yang sifatnya melukakan dan boleh membunuh tidak mencederakan Nabi Ismail apabila cuba disembelih oleh Nabi Ibrahim. 

2. Api yang sifatnya membakar tidak menghanguskan tubuh Nabi Ibrahim walaupun Baginda berada di dalamnya selama seminggu berdasarkan suatu riwayat. Ada riwayat lain pula menyebut bahawa api menghanguskannya setakat pinggang kecuali tubuh, pakaian dan rambut. 

3. Laut boleh terbelah menjadi dua belas lorong hanya dengan dicampakkan tongkat oleh Nabi Musa dan beribu pengikutnya boleh berjalan melaluinya tanpa basah dan tenggelam. 

Hukum alam yang berkaitan dengan sebab dan akibat adalah berdasarkan konteks makhluk. Berbeza dengan Allah sebagai Khaliq atau Pencipta, oleh itu Dia tidak terikat dengan peraturan kerana hukum ‘natural law’ adalah suatu perkara yang ditentukan oleh-Nya. 

Walaupun setara mana jahat orang yang melawan Nabi dan Rasul, akhirnya akan kalah jua kerana yang menentukan ialah Allah. Lihatlah sejarah Firaun dan Namrud yang pernah menjadi dua kuasa besar dunia pada suatu ketika dahulu, namun akhirnya kalah. 

1. Firaun – Tiada pemimpin dunia yang sehebat Firaun di mana dia bukan sahaja mempunyai kuasa besar tetapi tidak pernah jatuh sakit bermula sejak lahir sehingga tenggelam di dalam laut. Ada tafsir yang menyatakan itulah punca dia menjadi sombong dan sehingga tahap menyebut kepada Nabi Musa bahawa dialah Tuhan yang utama dan meminta supaya menyembahnya. Akhirnya, Allah menenggelamkannya di dalam laut. 

2. Namrud – Kuasa Namrud juga besar sehingga mencabar Allah. Namrud mencabar Nabi Ibrahim supaya berlawan dengannya dan membawa tentera-tenteranya. Allah meminta Nabi Ibrahim agar menyuruh Namrud menghimpunkan askar-askarnya di tengah padang. Akhirnya, Allah menghantar pasukan nyamuk untuk menyerang mereka. Ada riwayat menyatakan bahawa Namrud terseksa akibat diserang oleh nyamuk melalui telinga selama tiga hari dan kemudiannya meninggal dunia. 

Selain itu, ada dua kuasa besar dunia pada zaman Rasulullah S.A.W iaitu kerajaan Rom dan Parsi. Walaupun kedua-duanya hebat, akhirnya tetap jatuh kalah pada zaman Sayyidina Umar R.A. Kerajaan Rom dan Parsi runtuh akibat serangan oleh Kerajaan Islam. 

Bersabar terhadap kemenangan Islam

Apabila kita berpegang dengan agama, walaupun ada sedikit kebimbangan, kita seharusnya tidak berputus asa dan mestilah optimis. Kemenangan akan diberikan kepada orang yang membela dan memperjuangkan agama. 

Seperti yang kita lihat pada hari ini iaitu kerajaan Turki Uthmaniyah. Bangsa Turki asalnya daripada orang-orang di pergunungan. Mereka memeluk Islam. Mereka berlawan menyerang Mongol yang beragama Kristian dan akhirnya Mongol jatuh. 

Kerajaan Saljuk adalah kerajaan yang terakhir. Sebelum itu adalah kerajaan Ayyub yang diperintah oleh Salahuddin Al-Ayyubi. Berlaku perebutan kuasa sehingga munculnya kerajaan Saljuk yang berpusat di Konya, Turki. Di sinilah tinggalnya seorang ulamak sufi yang terkenal iaitu Jalaluddin al-Rumi. 

Mereka menyerang Mongol dan munculnya kerajaan Uthmaniyah yang diasaskan oleh Osman bin Ertugrul bin Suleyman Shah. Kuburnya berada di Bursa yang merupakan salah satu pusat pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Bursa adalah pusat pemerintahan sebelum Istanbul. Pusat pemerintahan kemudian berpindah ke Istanbul selepas Sultan Muhammad Al-Fateh menakluk Istanbul. 

Rasulullah S.A.W pernah menyebut bahawa Constantinople (kini Istanbul) akan dibuka pada suatu masa nanti. Berdasarkan Hadis Nabi S.A.W bersabda; 

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْاَمِيرُ اَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

“Constantinople bakal dibuka. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya. [1]”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Setelah 800 tahun ucapan Baginda S.A.W, barulah hal itu berlaku. Kota itu ditawan oleh seorang Raja yang bernama Muhammad II atau gelarannya ialah Muhammad Al-Fateh. Beliau menjadi raja pada usia 21 tahun. Setelah kewafatan ayahnya, beliau memerintah Turki dan merancang untuk menakluk Istanbul. Sangat lama tempoh kemenangan Islam, namun itulah jaminan Allah sekiranya kita berpegang pada agama. 

Oleh sebab itu, kita haruslah memperjuangkan Islam. Buatlah setakat yang mampu untuk menegakkan agama. Kita juga haruslah bersabar dan yakin dengan janji-Nya. Mungkin kemenangan bukan berlaku pada hari ini tetapi Insya-Allah pada suatu masanya nanti. 

Lihatlah kemenangan Constantinople yang memakan masa ratusan tahun. Sehinggakan ada Sahabat yang syahid dalam peperangan iaitu Abu Ayyub Al-Ansari. Beliau terlalu menginginkan penghormatan ‘sebaik-baik tentera’ yang disebut dalam Hadis. Walaupun beliau dilarang oleh anak cucu daripada berperang, beliau tetap ingin pergi dari Madinah menuju ke Istanbul. Beliau berharap akan kemenangan, namun meninggal dunia dalam peperangan dek usianya yang sudah lanjut. 

Pengajarannya adalah dari segi zahirnya, perjuangan Islam memang kelihatan amat sukar. Mungkin Islam akan menang di Barat tanpa melalui peperangan. Seperti yang kita lihat pada hari ini, ramai orang Barat memeluk Islam. Di Amerika, orang Islam menjadi wakil rakyat dan Datuk Bandar. 

Barat sangat takut kepada Islam. Suatu tulisan seorang paderi pernah diterbitkan di dalam surat khabar yang menyatakan bahawa “Hanya Tuhan yang boleh menyelamatkan England daripada Islam”. England terselamat daripada peperangan udara yang diserang oleh Jerman (waktu itu setelah Jerman menguasai Perancis) dengan bantuan tentera udara British yang hebat dan akhirnya Jerman berundur. Sehingga terbitnya filem ‘The Battle of Britain’.

Baginya jika England boleh terselamat daripada serangan udara, semestinya Tuhan akan menyelamatkan England daripada Islam. Sebab dia sudah buntu kerana penyebaran Islam telah meningkat. Gereja ditutup dan ada gereja yang terpaksa dijual kerana tiada orang yang datang sembahyang walaupun seminggu sekali. 

Kemudian, kerajaan England mengeluarkan peraturan larangan menjual gereja. Mengubah gereja kepada sekolah atau masjid pun tidak dibenarkan. England menganggap itu merupakan suatu aib bagi agamanya dan berasa malu. Inilah masalah besar yang menimpa Barat. 

Kepentingan dalam memahami Islam dan beramal dengannya

Begitu juga dengan negara kita, jadi kita haruslah sentiasa mengajak orang kepada Islam. Kita hendaklah menjadi contoh supaya orang berminat dengan Islam dengan perlahan-lahan. Mungkin suatu hari nanti semua orang ingin melihat Islam tertegak. Maka, tidak usahlah kita bersikap lemah dan mesti mempunyai kualiti sebagai orang beriman seperti memahami agama dan beramal dengannya dalam kehidupan setakat yang kita mampu. 

Sebagai contoh, ada yang jadi engineer, jadilah engineer yang Islam, arkitek pun yang Islam, lawyer yang Islam, cikgu yang Islam, pegawai yang Islam, peniaga yang Islam dan sebagainya. Sehingga hendak mencuri pun, mencurilah dengan cara Islam. Sebelum memasuki rumah orang, bagilah salam dahulu kemudian mintalah izin tuan rumah untuk kita ambil barangannya. Nak beritahu bahawa bukan menyuruh agar kita mencuri, tetapi biar kita hidup dengan cara Islam. 

Buatlah pekerjaan apa pun asalkan mengikut kehendak agama seperti menjaga solat lima waktu, tidak tidur berlebihan daripada waktu sepatutnya bekerja, tidak merokok semasa bertugas, tidak ponteng kelas dan sebagainya. Ada yang salah faham dan menganggap Islam hanya sekadar berada di dalam masjid, berzikir atau membaca al-Quran. 

Kopiah tok lebai pula kekuningan dan tidak dibasuh serta gigi pun tidak digosok. Tetapi sekarang Alhamdulillah, orang sudah mula memahami Islam. Pemakaian sudah menjadi bersih dan kemas. Inilah tuntutan agama. Rambut Rasulullah S.A.W tidak pernah kelihatan kusut masai serta sentiasa disapu minyak dan disikat kemas. Bajunya juga bersih walaupun tidak mahal. Penampilannya yang kemas disukai oleh agama. 

Kita orang Melayu asalnya berbangsa Hindu yang menyembah patung berhala. Tok nenek moyang kita dahulunya tidak mandi, tidak berbaju dan tidak memotong rambut. Apabila datangnya orang-orang Arab ke Tanah Melayu dengan tujuan perniagaan, mereka menunjukkan contoh teladan seperti pakaian bersih, muka cantik dan berseri serta bersifat jujur dalam perniagaan (bukan tidak mengambil keuntungan). Orang Melayu menjadi hairan dengannya. 

Ada yang mengutarakan bahawa berniaga dengan cara Islam tidak akan menguntungkan. Ini tidak benar kerana Baginda S.A.W sendiri mengambil keuntungan. Antara sebab Sayyidatina Khadijah R.A berkenan dengan Baginda adalah kerana berjaya mendapatkan banyak keuntungan untuk perniagaannya. Jika rugi, tiada siapalah yang akan menjadikan Baginda sebagai menantu dan suami. Orang gajinya sendiri mengakui akan kehebatan Baginda berniaga tanpa penipuan sehingga barangan laku keras dan memperoleh keuntungan yang besar. Inilah faktor Sayyidatina Khadijah tertarik kepada Baginda dan akhirnya meminangnya. 

Maka, berniaga dengan cara Islam bukan tidak boleh mengaut keuntungan, namun berniagalah dengan jujur dan tidak ‘cekik darah’. Jika barangan sudah rosak, berkatalah benar dengan pembeli dan juallah dengan harga potongan. Jika pembeli memperoleh barangan yang rosak tanpa diketahuinya terlebih dahulu, akan ada yang menyumpah. Jadi, orang yang tidak memahami agama akan menyebabkan orang tidak suka akan Islam. Sedangkan yang buruknya bukanlah Islam tetapi yang buruknya adalah kita. 

Peristiwa Israk dan Mikraj menjadi peringatan

وَاِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اسْجُدُوْا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَۗ قَالَ ءَاَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِيْنًاۚ

“Dan (ingatlah), ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu semua kepada Adam,” lalu mereka sujud, kecuali Iblis. Ia (Iblis) berkata, “Apakah aku harus bersujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?”

(al-Isra’: 61)

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W ditunjukkan pelbagai jenis situasi seperti berjumpa dengan perempuan tua yang sudah bongkok tiga, yang memakan daging busuk, yang memotong lidahnya sendiri dan lidah tumbuh kemudian memotongnya lagi dan sebagainya. Ia adalah sebagai suatu cabaran kepada manusia. Baginda yang melihatnya boleh memberitahu kepada umatnya akan akibat daripada sesuatu perbuatan. Sebagai contoh, apabila mengumpat, kita akan memakan daging busuk. 

Perempuan tua yang sudah bongkok tiga yang dijumpainya itu melambangkan dunia yang sudah terlalu tua pada zamannya iaitu 1,600 tahun dahulu. Jika kita masih terlalu mengejar dunia dan meninggalkan segala perintah agama, ‘penatlah’. 

Cerita-cerita yang disampaikan pada hari ini mengenai peristiwa Israk dan Mikraj adalah bertujuan sebagai peringatan kepada kita semua dan boleh memperbetulkan kehidupan kita agar menepati kehendak agama. Walaupun situasi tersebut menjadi amaran buat orang Islam dan bukan-Islam pada zaman Nabi S.A.W, mereka tetap tidak beriman. 

Logik menjadi faktor takabbur walhal kebenaran perlu diutamakan

قَالَ اَرَاَيْتَكَ هٰذَا الَّذِيْ كَرَّمْتَ عَلَيَّ لَىِٕنْ اَخَّرْتَنِ اِلٰى يَوْمِ الْقِيٰمَةِ لَاَحْتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهٗٓ اِلَّا قَلِيْلًا

“Ia (Iblis) berkata, “Terangkanlah kepadaku, inikah yang lebih Engkau muliakan daripada aku? Sekiranya Engkau memberi waktu kepadaku sampai hari Kiamat, pasti akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.””

(al-Isra’: 62)

Ayat ini menjelaskan kepada Rasulullah S.A.W bahawa sekiranya orang kafir melawannya, maka itu bukan suatu perkara yang pelik. Sebab sejak zaman Nabi Adam, sudah ada yang melawan iaitu Iblis. Nabi Adam dicipta daripada tanah liat dan kemudian ditiupkan roh. Allah memanggil malaikat dan ketua Iblis iaitu Azazil untuk berhimpun di langit. Azazil ialah makhluk yang paling kuat beribadat. 

Ada sesetengah khilaf ulamak yang berpendapat bahawa Iblis asalnya adalah malaikat. Namun menurut al-Quran, Iblis bukan malaikat tetapi jin yang diberi peluang oleh Allah untuk bersama-sama dengan malaikat. Malaikat, jin dan manusia adalah berbeza kejadiannya. Malaikat dicipta daripada cahaya, jin dicipta daripada pucuk api yang panas dan manusia pula dicipta daripada tanah liat. Oleh sebab itu, jin yang memasuki tubuh manusia akan menyebabkan manusia menjadi panas atau histeria. 

Semua yang berhimpun diminta untuk sujud kepada Nabi Adam. Semua sujud melainkan Iblis yang enggan kerana ia yang dicipta daripada api berasa lebih hebat daripada Nabi Adam yang dicipta daripada tanah liat. Tanah liat sifatnya lembik tetapi boleh menjadi keras seperti batu-bata apabila dibakar pada darjah kepanasan tertentu. Api yang boleh mengubah sifat tanah liat tersebut, oleh sebab itu pada pandangan Iblis, ia enggan sujud pada yang lemah sifatnya. Ia menggunakan logik. 

Sama seperti orang-orang Arab yang menolak dakwah Rasulullah S.A.W kerana Baginda merupakan anak yatim dan miskin. Mereka yang berbangga dengan kekayaan, harta, pengikut ramai, kemasyhuran, bisnes dan sebagainya enggan mengikuti ajaran Nabi. Mereka menganggap bahawa Baginda tidak ketahui apa-apa, tidak berharta, berdakwah pula bergantung dengan harta isteri bahkan hidup bergantung dengan bapa saudara. Menurut ulamak, logik yang mereka gunakan adalah logik Iblis. 

Sama seperti orang kita yang sudah berumur merasakan lebih ‘makan garam’ berbanding dengan orang muda. Tidak boleh begitu. Sepatutnya dilihat kepada apa yang disampaikan sama ada ia betul atau salah. Jika benar, maka turutilah ia. 

Ada satu kisah berlaku pada zaman Sayyidina Umar R.A. Beliau sangat ditakuti sehinggakan semua budak-budak yang bermain lari lintang-pukang apabila melihatnya kecuali seorang. Beliau mendekati budak itu lalu menanyakan sebab mengapa dia tidak lari. Budak itu menjawab bahawa dia tidak takut dengan Sayyidina Umar kerana dia lebih takut dengan Allah. Tiada alasan untuk dia lari kerana tiada apa-apa kesalahan dengan Sayyidina Umar. Inilah kebijaksanaan yang ada pada budak itu [2]. 

Pengajarannya adalah betapa pentingnya kebenaran. Apa sahaja yang dibicarakan perlu dinilai dari segi kebenaran. Jika benar, maka turutilah ia walaupun datang daripada musuh, orang yang lebih rendah kedudukannya daripada kita atau orang yang kita rasakan ‘lekeh’. Oleh itu, sentiasalah berada dalam kebenaran dan hindarilah nafsu yang boleh merosakkan hidup kita. 

Kisah Iblis ini menjadi iktibar kepada kita bahawa kerosakannya adalah berpunca daripada takabbur. Sifat takabburmenghalang kita daripada memasuki syurga walaupun banyak amal ibadah dan ia membawa kita kepada neraka. 

Allah berfirman dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud; 

“Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka barang siapa menyamai-Ku, satu daripada keduanya, maka pasti dilemparkan ia ke dalam neraka jahanam dan tidak akan dipedulikan lagi. [3]” 

Kita diajar untuk bersifat tawaduk iaitu merendah diri. Apabila bersifat merendah diri, orang itu akan dimuliakan, dihormati dan dikasihi. Rasulullah S.A.W tidak bersifat takabbur. Ada riwayat menyebut bahawa orang yang tidak pernah mengenali Nabi tidak dapat mengecamnya jika Baginda berada dalam khalayak ramai. Inilah sifat tawaduk yang ditunjukkan oleh Baginda. 

Khidmat kepada guru membawa keberkatan

Kadang-kadang, ada tuan guru yang menyuruh anak muridnya supaya membasuh tandas, mencuci lantai, membasuh kolah, mengopek buah kelapa, mencabut rumput dan sebagainya. Inilah cara ulamak mendidik kita untuk membuang dan melemahkan rasa takabbur dalam diri. 

Selain daripada berkhidmat, dengannya menjadi berkat, ia menghalang kita daripada menjadi seorang yang takabbur. Sebagai contoh, apabila disuruh memunggah air atau mencuci tandas, kadang-kadang kita tidak berpuas hati. Namun, khidmat kepada guru adalah untuk mendapat keberkatan seperti tolong memegang kain atau membawa barangannya. Belajarlah ilmu apa sahaja, jika kita menghormati guru, kita akan memperoleh keberkatan. 

Hasutan Iblis yang membahayakan manusia

قَالَ اذْهَبْ فَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ فَاِنَّ جَهَنَّمَ جَزَاۤؤُكُمْ جَزَاۤءً مَّوْفُوْرًا

“Dia (Allah) berfirman, “Pergilah, tetapi barang siapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sungguh, neraka Jahanamlah balasanmu semua, sebagai pembalasan yang cukup.”

(al-Isra’: 63)

Apabila disuruh sujud kepada Nabi Adam, iblis enggan melakukannya. Lalu, Allah S.W.T murka akan Iblis dan Iblis pula tidak berpuas hati dengan-Nya. Iblis berdebat dengan mempersoalkan kelebihan Nabi Adam. Akhirnya, Iblis dilaknat dan meminta tempoh sehingga satu masa ia akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam. Ini merupakan balas dendamnya. 

Musuh utama kita ialah Iblis, bukan sesama kita. Kita terutama orang Islam tidak sepatutnya berkelahi antara satu sama lain atas dasar peribadi. Berkelahi atas dasar agama dibenarkan. Sebab musuh sebenar kita ialah Iblis yang mencari jalan untuk menyesatkan kita, membawa kita kepada kejahatan, menyebabkan Allah murka dan akhirnya kita tidak dapat memasuki syurga. Oleh itu, kenalilah musuh sebenar kita kerana punca perbalahan pada hari ini adalah daripada hasutan Iblis. 

Antara orang yang apabila diberikan kelebihan kepadanya, mereka menyalahgunakan kelebihan tersebut adalah seperti berikut: 

1. Bal’am bin Ba’ura’ ialah seorang ahli kitab yang hebat sehingga boleh berjalan atas air dan terbang. Allah menganugerahkan ilmu tersebut kepadanya. Akhirnya, beliau lupa diri dan menyalahgunakan ilmunya. Perbandingan yang dibuat adalah beliau seperti seekor anjing. Apabila diberi makan atau tidak, ia sentiasa menjelir lidah. Oleh itu, beringatlah dengan apa sahaja kelebihan yang kita miliki kerana ia hanya suatu pinjaman Allah kepada kita [4]. 

2. Tha’labah ialah seorang Sahabat Rasulullah S.A.W yang berakhlak baik, rajin pergi ke masjid dan tidak meninggalkan solat. Pada suatu hari, beliau diuji oleh Allah S.W.T. Beliau meminta supaya Baginda mendoakannya agar dimurahkan rezeki. Beliau diuji dengan kambing dan biri-biri yang akhirnya sentiasa membiak. Kesannya, beliau tidak sempat untuk pergi ke masjid dan akhirnya meninggalkan solat kerana terlalu sibuk memelihara haiwan peliharaannya. Beliau juga tidak memberikan zakat kepada orang yang datang mengutip zakat. Sehingga pada zaman Sayyidina Abu Bakar, zakat masih tidak dikeluarkannya. Akhirnya, Allah menarik kembali dengan mematikan seekor demi seekor haiwan peliharaannya dan beliau kembali berada dalam kesusahan [5]. 

Ikhlas menghalang Iblis untuk menguasai manusia

وَاسْتَفْزِزْ مَنِ اسْتَطَعْتَ مِنْهُمْ بِصَوْتِكَ وَاَجْلِبْ عَلَيْهِمْ بِخَيْلِكَ وَرَجِلِكَ وَشَارِكْهُمْ فِى الْاَمْوَالِ وَالْاَوْلَادِ وَعِدْهُمْۗ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطٰنُ اِلَّا غُرُوْرًا

“Dan perdayakanlah siapa saja di antara mereka yang engkau (Iblis) sanggup dengan suaramu (yang memukau), kerahkanlah pasukanmu terhadap mereka, yang berkuda dan yang berjalan kaki, dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak lalu beri janjilah kepada mereka.” Padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka.”

(al-Isra’: 64)

Allah S.W.T memberi peluang kepada Iblis yang ingin menyesatkan anak cucu Nabi Adam dengan helah sehingga hari kiamat. Allah juga menjamin bahawa sesiapa yang mengikuti syaitan dan syaitan sendiri akan dimasukkan ke dalam neraka. 

Namun, bukan semua manusia yang boleh disesatkannya. Hanya orang ikhlas beribadah sahaja yang sukar dikuasainya. Ikhlas bermakna melakukan ibadah semata-mata kerana Allah. Menurut pandangan Fudhail bin Iyadh, antara syarat agar amalan diterima ialah ikhlas. 

Sehingga ada ulamak yang berpendapat bahawa niat solat perlu disertakan dengan lafaz ‘Lillahi Ta’ala’ kerana ia menuntun kita agar ikhlas. Sebab ada manusia yang menunaikan solat atas faktor takut kepada manusia lain, ambil hati dan menunjuk-nunjuk. 

Orang yang ikhlas sukar dikuasai oleh Iblis kerana dia sentiasa mengingati Allah di mana-mana sahaja. Sebagai contoh apabila bersedekah, kadang-kadang datang perasaan hebat kerana nilai wang yang disedekahkan itu lebih tinggi daripada orang lain. 

Ada satu kitab tulisan Ibn Qayyim yang mengajar kita mengenai cara membentengkan diri daripada gangguan syaitan. Selain daripada ikhlas, kita hendaklah sentiasa memperbaharui wuduk. Wuduk menyebabkan kita berada dalam keadaan yang bersih. Jadi, syaitan sukar menguasai kita. Amalan lain yang dinyatakan adalah membaca ayatul Kursi, La ilaha ilallahu wahdahu laa syarikalah sebanyak 100 kali pada setiap pagi serta surah al-Falaq, surah an-Nas dan surah al-Ikhlas sebelum tidur. Inilah amalan yang boleh kita amalkan untuk berlindung:

اِنَّ عِبَادِيْ لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطٰنٌۗ وَكَفٰى بِرَبِّكَ وَكِيْلًا

 “Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (Iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga.”

(al-Isra’: 65)

Ini misalan yang dibuat oleh Allah kepada syaitan yang berusaha untuk menggoda manusia. Menurut ulamak, kadang-kadang perasaan kita mempunyai gangguan. Inilah bisikan halus syaitan yang masuk ke dalam hati supaya kita binasa. Sebagai contoh: 

1. Sebelum kita mempunyai wang yang banyak, kita berfikir untuk bersedekah, menyumbang kepada masjid atau membantu orang lain. Namun setelah itu, berasa ‘sayang’ pula untuk menggunakannya dan berfikir macam-macam sehingga lupa akan niat sebelumnya. 

2. Kita perasan yang orang lain tidak beribadah sebanyak yang kita lakukan seperti bangun malam. Berfikir mungkin orang lain tidak bangun kecuali kita seorang. Atau datang masjid awal. Berfikir imam dan bilal belum datang, sedangkan kita sudah tiba awal lagi. 

Walau hebat setara mana pun pasukan syaitan, ia langsung tidak memberi faedah kepada orang-orang yang ikhlas dan mengikuti jalan petunjuk-Nya. Oleh itu, bentengilah diri kita melalui pelbagai cara. Sebab silap hari bulan, orang yang belajar di sekolah atau universiti boleh menjadi sesat, begitu juga dengan yang belajar agama. 

Faktor kemunculan Hadis palsu adalah berpunca daripada orang yang mereka-reka Hadis. Walaupun tujuannya baik, yang menjadi salahnya adalah kerana mereka-reka yakni mengatakan bahawa sesuatu itu daripada Nabi, namun hakikatnya Nabi tidak pernah berkata sedemikian. Ini termasuk dalam jalan yang dirancang oleh syaitan. 

Ada juga yang berada di dalam masjid dan sering menceritakan kisah-kisah yang menarik supaya ramai yang datang mendengar. Contoh lain adalah yang ingin mengambil hati raja. Raja itu suka bermain burung. Dia mendekati Raja itu lalu memberitahu bahawa Nabi pernah menyebut mengenai kelebihan burung. Padahal tiada pun hal tersebut dinyatakan dalam Hadis. Cerita itu disukai oleh Raja dan Raja memberikannya wang [6]. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 19 September 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

Rujukan:

[1] Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Al-Tarikh al-Kabir (81/2) dan Imam Ahmad dalam Musnad.
[2] Budak yang dimaksudkan adalah Abdullah Bin Al-Zubair (Diceritakan oleh Ibnu Qutaibah dalam Uyun al-Akhbar2/215).
[3] Hadis Riwayat Abu Daud (no. hadis 4090).
[4] Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab tafsir karangan Imam Al-Tabari.
[5] Kisah ini popular dalam kitab-kitab tafsir dan diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Al-Kabir, dan juga Al-Tabari dalam tafsir beliau. Namun begitu, Imam Al-Qurtubi dalam tafsir beliau menganggap kisah ini dhaif dan tidak sahih. Begitu juga Ibnu Hajar al-Asqalani yang melihat sanadnya sebagai sangat Dhaif.
[6] Sebagaimana kisah Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha’i yang mencipta Hadis palsu kepada Khalifah Al-Mahdi berkenaan burung merpati demi mengambil hati pemerintah.

- Advertisement -