Jiwa tak normal golongan LGBTQ+ perlu rawatan pakar

- Advertisement -

Oleh: NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan aneh (LGBTQ+) yang sudah terjebak perlu berjumpa pakar bagi merawat jiwa yang tidak normal itu.

- Advertisement -

Begitu gesaan yang diutarakan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, dalam memperhalusi masalah dan kaitan golongan tersebut dengan pertambahan bilangan kes HIV/AIDS di Malaysia ketika ini.

“Kita tahu LGBTQ+ adalah berkaitan dengan masalah psikologi. Oleh itu, segala aktiviti atau apa sahaja bentuk yang menormalisasikan golongan tersebut perlu ditentang. 

“Sebaliknya, kita perlu berhubung antara satu sama lain untuk membawa golongan ini kembali ke jalan yang benar,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, HIV adalah salah satu penyakit yang berpunca daripada gaya hidup bebas yang diamalkan oleh masyarakat di luar sana. 

HIV merujuk kepada Human Immunodeficiency Virus. Ia adalah virus yang boleh menyebabkan AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome) jika tidak dirawat. 

Kajian yang dilakukan saintis telah membuktikan bahawa 94 peratus jangkitan HIV/AIDS adalah melalui hubungan seksual.

Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2020 menunjukkan kebanyakan jangkitan HIV/AIDS menular dalam kalangan anak-anak muda dengan 76 peratus melibatkan mereka yang berusia antara 20 hingga 39 tahun. 

“Corak jangkitan telah berubah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila amalan seks luar tabii dan tidak selamat atau tanpa perlindungan (sesama jenis terutama gay antara lelaki dan lelaki) menjadi faktor utama penularan berbanding perkongsian penggunaan jarum suntikan. 

“Antara faktor risiko yang tinggi untuk dijangkiti dan merupakan punca jangkitan HIV antaranya adalah mempunyai lebih daripada satu pasangan seks dan menjalinkan hubungan seks dengan pasangan yang HIV positif,” jelasnya.

Penagih dadah juga adalah antara penyumbang kepada golongan berisiko tinggi djangkiti HIV disebabkan mereka berkongsi jarum dan alat suntikan yang terkena jangkitan. 

Nafsu kuat halang gay berubah 

Selain itu Wan Martina turut memberitahu, golongan homoseksual dan biseksual pula kini menjadi kumpulan penyumbang utama dalam penyebaran virus HIV dan AIDS terutamanya di sekitar ibu negara Kuala Lumpur.

“Apa yang menimbulkan kebimbangan, golongan yang mengamalkan gaya hidup songsang ini, yang mana mereka langsung tidak berasa berdosa dan tidak merasakan penyakit HIV/AIDS ini boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri (dan orang di sekeliling mereka).

“Sehingga kini masih belum ada lagi ubat yang mampu menghapuskan virus HIV daripada badan manusia, namun pesakit boleh dirawat melalui rawatan antiretroviral (ARV) yang konsisten dan kepatuhan terhadap rawatan dijadualkan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, HIV positif adalah satu ujian yang merupakan stigma negatif kepada masyarakat. 

Katanya lagi, nafsu yang kuat menyebabkan sukar buat golongan gay meninggalkan amalan songsang itu, justeru mereka akan kekal meneruskan gaya hidup sebagai seorang gay. 

Namun demikian, ujar Wan Martina, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat sebelum ia menjadi lebih parah.

“Pengawalan dan pencegahan ini perlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dan bukannya KKM sahaja,” ujarnya.

Jabatan agama juga adalah antara agensi yang penting untuk memberi kesedaran kepada golongan homoseksual. 

“Pihak jabatan agama boleh menyediakan program-program yang lebih kepada kesedaran supaya keadaan ini dapat dikawal. 

“Kempen kesedaran dalam kalangan orang muda amat penting untuk dilaksanakan terutamanya mengenai pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif.

“Pendidikan seksual dan bahaya HIV/AIDS perlu disampaikan kepada golongan sasar yang betul menggunakan laras bahasa yang mudah di fahami semua,” jelas beliau. 

Sehubungan itu, kata beliau, peranan yang dimainkan oleh masyarakat di luar sana juga amat penting untuk sama-sama membantu menyelesaikan masalah ini daripada berterusan.  –  HARAKAHDAILY 21/09/2022

- Advertisement -