Jalan raya Timur-Barat di sebelah Perak teruk

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

JELI:
Hanya jalan raya Timur-Barat sahaja yang menjadi laluan utama penduduk dari Kelantan dan Terengganu yang hendak ke negeri-negeri sebelah utara Semenanjung.

Sebelum ada jalan raya tersebut penduduk Kelantan yang mahu ke Perak, Kedah atau Pulau Pianng menggunakan laluan di selatan Thailand.

Laluan itu lebih selamat biarpun terpaksa melewati Wilayah Narathiwat, Yala dan Songkla sebelum masuk semula ke sempadan Perak, Kedah atau Perlis.

Pada tahun 1960-an atau 1970-an, ramai petani di Kelantan mengambil upah mengerjakan sawah di Kedah. Laluan mudah untuk ke Kedah mereka melalui selatan Thailand, sama ada menggunakan kereta api atau jalan raya.

- Advertisement -

Laluan di selatan Thailang begitu jauh sehingga hampir 1,000 kilometer sebelum sampai ke destinasi di Kedah.

Mengambil kira keperluan mendesak itu kerajaan Malaysia membina jalan raya Timur-Barat fasa 1 yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Pembinaan jalan ini dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Malaysia bertujuan memendekkan perjalanan dari Kota Bharu ke Alor Star.

Jalan Raya Timur Barat fasa 1 dua lorong dibina pada tahun 1970 dan dibuka secara rasmi pada 1982 membabitkan kos awal sebanyak RM85 juta.

Bagaimanapun kos pembinaan meningkat kepada RM205 juta akibat disabotaj pengganas komunis ketika pembinaan sedang dijalankan.

Bagi mereka yang pertama kali melalui jalan tersebut agak serik kerana terpaksa mendaki laluan berbukit yang begitu panjang.

Lebih membosankan lagi apabila ada deretan lori atau treler yang melalui jalan tersebut kerana sukar untuk memotong dalam keadaan jalan yang sempit dan berbukit.

Pemandu terpaksa bersabar menempuh jalan perjalanan sejauh 123 km dari Jeli ke Gerik kerana sukar memotong di laluan berbukit.

Deretan kenderaan

Bagaimanapun pada cuti persekolahan dua minggu lepas jalan raya Timur-Barat meriah dengan kehadiran kenderaan yang kelihatan berderetan dari jauh.

Ramai penduduk di utara Semananjung mengambil peluang bercuti ke Kelantan. Ada juga yang menghadiri majlis kahwin ahli keluarga dan sahabat handai di Kelantan.

Kemeriahan itu dapat dilihat apabila Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa yang terletak pada ketinggian 1,100 meter dari aras laut dipenuhi kenderaan.

Hampir tiada ruang untuk parkir kenderaan. R&R tersebut merupakan satu-satunya lokasi perhentian bagi laluan Jeli-Gerik yang menjadi tarikan ramai.

Ramai tidak melepaskan peluang untuk memasuki tandas apabila sampai di R&R terbabit, di samping menghilang haus dan lapar di restoran yang terdapat di situ.

Bagaimanapun melewati laluan terbukit itu ramai pengguna jalan raya merugut kerana laluan di sebelah Perak banyak berlubang dan ditampung ala kadar di sana sini.

Keadaan itu menyebabkan banyak kenderaan terpaksa meredah jalan berlubang terutamanya pada waktu malam memandangkan jarak penglihatan menjadi singkat terutamanya ketika hujan.

Seorang pengguna jalan raya Tarmizi Mohammad, 35, dari Kuala Krai berkata, jalan di sebelah Perak agak teruk sekarang seolah-olah sudah lama tidak diselenggara.

Sedangkan sebelum ini ramai pengguna merugut ketika melewati jalan raya di sebelah Kelantan kerana banyak jalan berlubang dan rosak.

“Sekarang sudah terbalik keadaan jalan di sebelah Kelantan lebih elok dan kelihatan baru ditar semula. Namun di sebelah Perak banyak lubang dan jalan rosak di sana sini,” katanya di sini.

Hakikat itu diakui ramai lagi pemandu yang sering melalui jalan berkenaan. Malah kelihatan juga banyak cerun runtuh dan jalan berlubang di sebelah Perak.

Jalan persekutuan

Merungkai isu tersebut Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad dilapor berkata, beliau telah membangkitkan isu jalan berkenaan pada mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri bersama-sama Perdana Menteri Februari lalu.

“Jalan raya Gerik-Jeli tertakluk di bawah jalan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri,” katanya seperti dilapor sebuah media.

Pada Jun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed meninjau jalan raya terbabit di sebelah sempadan Kelantan selepas menerima menerima runggutan orang ramai.

Katanya, sebanyak 24 lokasi jalan raya Timur-Barat bagi jajaran di Kelantan perlu diselenggara kerana mengalami kerosakan membabitkan kos berjumlah RM19.8 juta.

Menurutnya sebanyak RM16.6 juta dibelanjakan tahun lalu untuk kerja-kerja penyelenggaraan, manakala tahun ini sebanyak RM10.9 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan di 11 lokasi jajaran tersebut.

Ternyata hasil turun padang menteri terbabit, keadaan jalan raya Timur-Barat di sebelah Kelantan semakin elok, namun tidak pula berlaku di sebelah Perak. – HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -