Muafakat Nasional diyakini masih ada hayat

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

TIMBALAN
Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menjangka sekiranya Ismail Sabri Yaakub mengetuai Umno pada masa akan datang dipercayai ada perubahan terhadap kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Ia mengambil kira parti yang mendukung kerajaan Persekutuan sekarang terdiri daripada semua parti Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan. Selain itu Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya hubungan antara parti-parti terbabit berjalan dengan baik, di mana mereka hadir pada mesyuarat kabinet bersama dan membincangkan kepentingan rakyat.

“Jadi tiada pun bincang soal pertembungan, dan saya ada sikit pengalaman ketika pilihan raya negeri Melaka. Pada peringkat awal Umno melalui Ismail Sabri mengambil inisiatif untuk kumpul dan berjumpa dengan PAS dan Bersatu berbincang untuk menghadapi PRN di Melaka.

- Advertisement -

“Bagaimanapun selepas itu Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengisytihar pula hendak lawan semua kerusi.

“Sedangkan sebenarnya kita buat kerangka, kita bincang, berapa kerusi yang kita boleh kompromi. Tetapi saya fikir hasrat itu mati begitu sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kerangka yang dibincang Ismail Sabri bersama pemimpin PAS dan Bersatu punah selepas Ahmad Zahid mengisytihar Umno/BN akan bertanding semua kerusi di Melaka.

Kedudukan Ismail Sabri sebagai Naib Presiden terpaksa akur dengan keputusan Presiden Umno.

Kekuatan logo PN

Ketika ditanya ramai ahli PAS mencadangkan guna logo PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15, Tuan Ibrahim memberitahu apabila parti membuat keputusan mereka diyakini akan akur.

Katanya tidak mungkin mereka akan undi BN, dan tak mungkin undi PH, dia akan tetap undi PAS.

“Sebab itu kita dapati di Melaka, dengan kita berbanding logo PN, kita dapat peningkatan 200 peratus lebih tinggi.

“Maknanya di Johor pun, walaupun sentimen setengah ahli PAS itu dia hendak logo parti, tetapi apabila bertanding guna logo PN, kita dapat undi atas pagar, undi bersama dengan Bersatu,” katanya.

Menurutnya kadang-kadang politik kita terpaksa korbankan satu tempat untuk dapat sokongan di tempat-tempat lain.

Contohnya apabila kita guna logo PN, kita akan dapat undi daripada parti Bersatu, pendukung Bersatu, ahli-ahli Bersatu serta ahli Umno yang bersama Bersatu.
Tetapi kata beliau kalau kita guna logo bulan, mungkin mereka agak berat hendak sokong, jadi kita tidak boleh tengok daripada satu aspek, kita boleh tengok secara menyeluruh.

“Sebenarnya berdasarkan sejarah, kita pernah guna logo PAS, tetapi kita tidak menang dan pada tahun 1974 apabila kita bertanding logo BN ketika itu, PAS bersama BN, kita menang.

“Kedah kita menang banyak, Pahang kita menang, tempat lain kita menang, maknanya faktor logo kita dapatkan lonjakan undi sebenarnya, bukan merosot undi.

“Kita yakin kali ini pun, apabila parti buat keputusan ahli kita InsyaAllah, ahli hard core mereka tahu keputusan parti, InsyaAllah mereka akan dukung,” tambahnya.

Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, perkara itu akan diputus oleh parti nanti.

Kepimpinan Muhyiddin

Tuan Ibrahim melihat ada penyambungan dibuat Ismail Sabri di mana beliau meneruskan apa yang Muhyiddin Yassin laksana sebelum ini termasuk bantuan diberi kepada untuk pemulihan ekonomi negara.

Kata beliau bantuan diberi kepada rakyat, cuma berbezanya Muhyiddin pemimpin yang mula-mula berdepan dengan situasi Covid-19 dan tidak tahu hendak hala tuju ketika itu.

“Beliau buat keputusan sebelum ini sesuatu yang sangat tepat. Saya tidak boleh bayang jika rakyat menghadapinya di zaman pemerintahan PH.

“Ini kerana mereka (PH) asyik memberitahu rakyat kerajaan tiada duit sehingga terpaksa melancar derma dan mewujudkan tabung.

“Tetapi apabila Muhyiddin memegang teraju kerajaan pada masa itu beliau keluarkan duit kerajaan bagi memberi bantuan kepada rakyat yang berdepan dengan kesukaran akibat pandemik Covid-19,” tambahnya.

Begitu juga Ismail Sabri bagi subsidi ayam, telur dan subsidi kepada pengguna terus dikekalkan. Bantuan-bantuan itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Ada orang kata ini mungkin faktor politik untuk tarik undi, tetapi kalau hendak tarik undi, yang untung bukan Umno sahaja, sebab PAS pun duduk dalam kerajaan, Bersatu pun ada dalam kerajaan.

“Jadi keputusan ini keputusan kerajaan, jadi kita dapat manfaat dengan apa yang Umno buat. Contohnya Inspirasi Keluarga Bahagia, ini program kerajaan, PAS pun dapat manfaat, kita pun turun termasuk di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Bagi kita, itu momentum bagus untuk kita, jadi bukan untuk Umno sahaja, mungkin kalau perdana meneri pergi dalam program parti itu untuk parti dia sahaja,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 21/9/2022

- Advertisement -