Klatefobik: Hinakah dilahirkan di Kelantan?

- Advertisement -

SEHARI dua ini banyak terbaca berkenaan isu Klatefobik atau Klatefobia, terutamanya dalam hubungan cinta-cintun dan juga perhubungan sesama manusia. 

Betul-betul real ke benda nie?

Sehingga ada beberapa content creaters yang asal Kelantan apabila berkenalan dalam ometv akan sebut, “ok ke kawan dengan saya, saya orang Kelantan?”

Jika betul, ianya satu yang mendukacitakan. 

Sudahlah Kelantan diperhinakan berpuluh tahun dalam arena politik negara. Takkanlah terheret sama dalam hubungan kehidupan seharian. 

Dalam politik, kita semua tahu bagaimana layanan parti lawan terhadap Negeri Kelantan. Kiri kanan depan belakang atas dan bawah diambil peluang untuk mencarik-carikkan kepimpinan berpandukan Islam di Kelantan.

Hingga kini, Kelantan diserang melalui media massa untuk memperhodoh dan merendahkan imejnya. Serba-serbi salah Kelantan. Dari sekecil perkara hingga sebesar perkara mahu diperhodohkan Kelantan. 

Seperti juga isu terbaru. Apabila Kelantan tidak benarkan konsert secara berleluasa. Dikatakan Kelantan jumud dan ekstrem serta mematikan budaya kesenian. 

Bila Kelantan benarkan konsert atau hiburan dengan syarat-syarat tertentu, tudia dilambung ke media bahawa Kelantan hilang jati diri, tidak konsisten dan lagha.

Ya, kita boleh menerima teguran dan lakukan penambahbaikan, namun janganlah memperlihatkan kami seperti terhina. Jika hendak teruskan dengan nada sebegitu, silakan.

Namun, ketahuilah rakyat Kelantan itu pantang dicabar, tidak boleh terhina dan dihina. Lagi dilanyak lagi dipertahan. Lagi disekat lagi keras melawan. ‘Kerah keng’ itu salah satu sikap orang Kelantan. 

Begitulah juga, bila ada yang kata ‘jangan cari orang Kelantan, orang Kelantan ini begitu dan begini…’ Orang Kelantan pun tak kisah dan tak peduli pun. 

Malah kita buat ‘nyenye’ pula, ‘Hino Ko?’ ‘Awak tak kisah ke kawan dengan orang Kelantan?’, ‘Awak tak rasa hino ko cakap pasal Kelantan?’

Ini semua adalah pertanyaan ‘nyenye’ orang Kelantan dengan penuh kebanggaan. 

Kerana orang Kelantan tahu maruah diri, tahu jati diri dan tahu kualiti diri. Katalah apa pun, jawab kami hanya ‘Kok mung, tak ssusoh ko che mung’.

Jika mereka yang menyerang dan menghina Kelantan itu merasakan berjaya membuatkan Kelantan dalam situasi serba salah. Ketahuilah, Kelantan tidak rasa serba salah pun. 

Tapi merekalah yang dalam keadaan serba salah, serba tak kena, sentiasa resah dan gelisah, tidak tenang jika tidak mencari salah. Hidupnya untuk menghina. 

Orang Kelantan hanya tenang dengan kata, ‘Sek Kito Jangan Peccoh’, sambil dengar puisi Sabri Yunus berkenaan Ust Mat Yakob, MB Kelate. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 20/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -