PAS perlu keluar dari kepompong label ‘parti pak lebai’

- Advertisement -

Oleh: NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Jangan pandang ringan terhadap PAS kerana ia adalah sebuah parti yang mempunyai akar umbi yang cukup kuat.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata demikian sebagai reaksi terhadap pihak tertentu yang melabelkan PAS sebagai hanya ‘parti pak lebai’ atau ‘parti lebai’. 

- Advertisement -

Buktinya, persidangan muktamar PAS yang telah diadakan di Kota Sarang Semut, Kedah pada 3 hingga 4 September yang lalu menyaksikan bahawa PAS mempunyai ahli-ahli yang cukup kukuh dan kuat. 

Beliau turut memberitahu bahawa PAS seperti juga Umno telah bertapak di Malaysia sejak bermulanya era kemerdekaan hingga pada masa sekarang iaitu hampir 70 tahun lebih. 

Tambah beliau, ini menunjukkan bahawa PAS sangat berpengalaman di dalam puncak politik di Malaysia.

Syakir turut memberitahu, sebenarnya PAS tidak boleh dipandang ringan oleh pelbagai pihak, kerana kalau diikutkan kepada sejarah perjuangan politik PAS itu sendiri sebenarnya berdepan dengan pelbagai perkara dan strategi. 

“Contohnya, PAS sebelum ini pernah bersama dengan Umno, kemudian tidak bersama dengan Umno.

“Kini kita melihat bahawa suasana politik agak berbeza daripada sebelum ini iaitu PAS cuba berada di dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ini adalah suatu perkara yang sangat berbeza dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik PAS sebelum ini”, beritahunya kepada HarakahDaily. 

Sehubungan itu, katanya lagi keadaan ini telah memperlihatkan bahawa bagaimana PAS cuba untuk mengukuhkan politik melayu Islam di Malaysia.

Hal ini agar ia bertepatan dengan Perlembagaan Malaysia itu sendiri yang memberikan hak keistimewaan dan keutamaan kepada melayu Islam bumiputera kerana sebenarnya memang ia perlu kepada sesuatu yang memperlihatkan kepada penguasaan di dalam pemerintahan. 

Katanya lagi, sekiranya tiada penguasaan, hal ini menyebabkan wujudnya kelemahan kepada pentadbiran negara. 

Sebagai contoh, seperti yang dilihat semasa pemerintahan Pakatan Harapan, Bersatu dan Umno itu sendiri yang hanya sepenggal sahaja.

Dalam sepenggal itu, telah menunjukkan pertukaran perdana menteri kepada 3 orang yang memperlihatkan pentadbiran itu lemah dan tidak dikuasai oleh satu-satu ideologi yang sangat kuat maka ia mudah runtuh. 

Oleh yang demikian, Syakir turut memberitahu bahawa walaupun PAS berhadapan dengan pelbagai strategi tetapi PAS masih kukuh. 

Maka dengan ini memperlihatkan bahawa parti PAS bukannya parti calang-calang atau parti serpihan-serpihan seperti yang disebut oleh sesetengah pihak bahawa PAS adalah parti serpihan Umno. 

Dalam pada itu, Syakir memberitahu ia sebenarnya tidak berlaku sedemikian kerana pada permulaan PAS itu sendiri ia dibentuk melalui kumpulan para ulamak yang membincangkan bagaimana untuk meluruskan pentadbiran dan pengurusan tanah melayu ini kepada ekslusif. 

Berikutan daripada itu, kini ada segelintir pihak yang menggelarkan parti PAS sebagai parti pak lebai atau parti lebai.

Syakir turut memberitahu bahawa, sebenarnya PAS dan pengikutnya atau pendokongnya patut untuk mengelak daripada dipanggil parti lebai atau ahli parti lebai kerana PAS itu menjunjung satu kalimah dalam partinya iaitu Islam. 

“Maka dari sini, kita melihat bahawa Islam itu ialah sesuatu yang patut ditinggikan. 

“Kita melihat dari sudut sumber-sumber Islam itu sendiri, ia adalah daripada al-Quran, hadis, ijmak, qias yang menunjukkan sesuatu yang sangat utuh dan kuat. Tidak mungkin ia boleh dipegang hanya oleh parti pak lebai,”ujarnya.

Menurutnya lagi, cukup sinonim apabila disebut sebagai pak lebai seolah-olah ia menggambarkan hanya dari sudut pengamalan yang agak lemah iaitu tumpuannya, hanya kepada ibadah semata-mata tanpa menghiraukan apa-apa yang berlaku dari sudut keduniaan. 

“Maka dari sudut itu, kita melihat bahawa perspektif kepada PAS yang membawa kepada parti pak lebai itu perlu dielakkan supaya ia tidak digambarkan sebagai parti yang penuh dengan kelemahan,” tambah beliau.

Justeru, Syakir turut menegaskan, sebenarnya apabila disebut parti lebai, istilah lebai itu merujuk hanya kepada orang-orang agama. Sedangkan parti PAS itu bukan hanya untuk orang agama. 

“Parti PAS terbuka kepada semua pihak. Kalau dilabelkan PAS itu sebagai parti lebai, bermakna ia eksklusif kepada sebuah kumpulan agama sahaja. Maka, dengan itu ia perlu dielakkan,” ujarnya.     

Walaupun apa sahaja yang diperkatakan oleh ramai pihak, ujarnya, namun setelah PAS menggunakan partinya dengan nama Parti Islam se-Malaysia, maka dari situ PAS perlu menjaga imej Islam itu sendiri. 

“Kita melihat antara perkara yang perlu dijaga oleh PAS ialah ahli-ahlinya sendiri tidak patut memrendah-rendahkan nilai PAS itu sendiri dengan menyebut parti pak lebai. 

“Parti yang menunjukkan bahawa PAS ini sinonim dengan sebuah kumpulan yang mahukan kepada ilmu yang mahu memperjuangkan Islam.  

Beliau menegaskan, PAS perlu keluar daripada kepompong itu dan perlu menonjolkan satu simbol dan satu kata-kata yang sangat baik, sebagai contoh PAS adalah sebuah parti yang dinamakan sebagai parti ilmuan, parti ahli-ahli ilmu.

“Oleh yang demikian, PAS perlu mengorak langkah lebih terkedepan dengan membawa simbol dan juga menekankan simbol-simbol yang sangat terbaik kerana PAS adalah sebuah parti yang menjunjung Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/09/2022

- Advertisement -