Taufan Muifa landa pantai timur China

Ombak besar menghempas pantai di Hangzhou di wilayah Zhejiang, timur China pada 14 Sept 2022 (FOTO STR/AFP)
- Advertisement -

Susunan: NORHANA MAT ZIN

SHANGHAI
: Bencana Taufan Muifa yang melanda pantai timur China pada hari ini, Khamis (15 Sept) telah memaksa kira-kira 1.6 juta orang penduduk di negara itu meninggalkan kediaman mereka.

Menurut peramal cuaca China, Taufan Muifa dikategorikan kepada ribut tropika yang terkuat yang melanda Shanghai sehingga membawa kepada hujan lebat dan banjir kilat di beberapa wilayah utara, China. 

- Advertisement -

Ribut tersebut melanda sejurus selepas Taufan Hinnamnoor melanda Shanghai dan wilayah jirannya minggu lalu, menyebabkan perkhidmatan feri Shanghai tergantung dan sekolah di beberapa bahagian Zhejiang ditutup.

Pihak berkuasa Zhejiang turut mengarahkan semua kapal nelayan supaya kembali ke pelabuhan menjelang tengah hari Rabu, menutup sekolah di tiga bandar, menggantung laluan feri penumpang dan menutup daya tarik pelancong di wilayah itu agar bersiap siaga menghadapi Taufan Muifa.

Bencana ini turut menyebabkan pembatalan penerbangan di beberapa lapangan terbang, perancangan kecemasan City Metro dan menjejaskan aktiviti pelabuhan dengan sedikit kerosakan dilaporkan.

Perjalanan udara perlahan-lahan diteruskan di Shanghai ketika ribut bergerak ke utara, tetapi kebanyakan penerbangan dari dua lapangan terbang utama di bandar itu dibatalkan pada pagi ini (Khamis), jelas penyedia data penerbangan Flightradar24.

Shanghai Airport Group menyatakan dalam satu kenyataan di media sosial bahawa ia akan mengumumkan penyesuaian jadual penerbangan di kedua-dua lapangan terbang kepada umum tepat pada masanya selaras dengan kesan taufan itu.

Agensi berita China, Xinhua turut memaklumkan bahawa ribut yang melanda itu telah membawa angin pada kelajuan sehingga 126 kilometer sejam (kmj) di daerah Fengxian di Shanghai pada pukul 12.30 pagi. 

Menurut Xinhua lagi, Taufan Muifa sebelum ini pernah melanda bandar Zhoushan di wilayah Zhejiang pada Rabu lalu. 

Muifa adalah taufan ke-12 yang melanda China pada tahun ini, jelas media kerajaan China. 

Sekurang-kurangnya 426,000 orang telah dipindahkan di Shanghai dan 1.2 juta orang lagi telah dibawa ke tempat perlindungan sementara di wilayah Zhejiang yang berdekatan, lapor  China Central Television (CCTV).

Walau bagaimanapun, tiada kematian atau kemalangan jiwa yang dilaporkan. 

Justeru, tempat perlindungan kecemasan sementara sudahpun ditubuhkan di sekitar Shanghai, lapor CCTV, serta zon pemindahan kecemasan merentasi kawasan sepanjang 30 kilometer di kawasan pantai bandar tersebut.

Pegawai keselamatan juga turut mengarahkan semua kapal nelayan di Laut Kuning dan Laut Bohai berlabuh di pelabuhan ketika timur laut China bersiap sedia menghadapi taufan itu. HARAKAHDAILY – 15/09/2022

- Advertisement -