Culik wanita: Tiga ditahan termasuk suami mangsa

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Polis Kelantan mengenal pasti punca utama ejen produk kosmetik diculik sekumpulan lelaki dipercayai kerana perselisihan faham berkaitan sindiket pengedaran dadah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suami Rosnazirah Mohd Naim terbabit dalam aktiviti sindiket dadah.

Susulan itu katanya, polis menahan tiga suspek termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun semalam berkait kes penyeludupan dadah.

- Advertisement -

“Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa dan sebarang usaha ke arah itu giat dilakukan.

“Bagi kes ini, polis percaya tiada pembabitan pihak lain kerana kita percaya kejadian itu berlaku akibat perselisihan dalam kalangan ahli sindiket,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam media melaporkan seorang wanita yang juga ejen produk kosmetik dipercayai diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat.

Muhamad Zaki juga berkata, suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan turut mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Manakala, seorang lagi lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah dan kesemua mereka itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu bagi proses siasatan.

Dalam perkembangan sama katanya, polis juga percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang menculiknya petang kelmarin.

“Setakat ini polis mengadakan perbincangan dan operasi khas juga turut dilancarkan bagi menyelamatkan wanita berkenaan.

“Kita percaya wanita berkenaan dalam keadaan selamat dan kita juga mendapat maklum balas yang positif dari pihak berkuasa Thailand bagi mengesan mangsa yang dipercayai dibawa ke negara berkenaan,” ujarnya.

Polis Kelantan turut menasihatkan penduduk kampung supaya tidak bimbang dan takut dengan apa yang berlaku kerana kejadian seperti itu bukan berlaku kepada semua orang.

Menurutnya sindiket berkenaan mengenali antara satu sama lain. Malah sehingga kini keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan daripada mereka. – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -