Adun BN masih dapat peruntukan kerajaan Kelantan

DUN Kelantan.
- Advertisement -

Oleh M FAQIH

KETIKA
ada pihak tidak jemu mengajak ke arah perpaduan ummah, geng lain pula asyik cuba mencurah minyak bagi membakar hangus Muafakat Nasional (MN).

Agenda itu memang mainan musuh politik. Ada orang bertanya siapa musuh politik MN, jawapannya tidak sukar dicari. MN yang digagas pada 14 September 2019, tidak terhenti untuk PAS dan Umno sahaja.

Semalam sepatutnya diadakan program khusus bagi meraikan ulangtahun ketiga penubuhan MN. Namun, ia berlalu begitu sahaja. Ini kerana ada pihak berusaha untuk meleburkan pakatan itu.

Ia melibatkan banyak pihak yang cemburu terhadap MN. Ketika MN menjadi sebutan hangat di merata tempat, tangan turut dihulur kepada Bersatu. Bersatu juga parti orang Melayu, sama dengan Umno.

Kita belek helaian akhbar lama. Pada 21 Ogos 2020 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Umno dan PAS menjemput Bersatu menyertai MN.

- Advertisement -

Malah surat mengenainya beredar luas di media sosial. Ini bermakna usaha untuk menyatukan parti berteras Melayu memang dipersetujui Umno.

Kemudian Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersetuju menyertai MN. Itu ceritanya yang perlu dikongsi bersama.

Persoalannya mengapa tiba-tiba usaha itu terhenti begitu sahaja. Jemputan telah dibuat, dan orang yang dijemput sudah setuju. Tidak semena-mena selepas itu kedengaran Setiausaha Agung Umno dipecat.

Annuar Musa yang serius mengusahakan MN tiba-tiba digantikan Ahmad Maslan. Baton Setiausaha Agung Umno beralih tangan. Selepas itu usaha untuk memperkasakan MN senyap.

Ketika usaha untuk memujuk Umno kembali ke meja perpaduan, Umno Kelantan muncul dengan lagak seperti hero. Di bawah pimpinan Ahmad Jazlan Umno Kelantan menghantar surat memutuskan hubungan dengan PAS.

Ia berlaku pada 22 Januari 2022. Umno Kelantan membuat keputusan nekad untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri berkuat kuasa serta-merta. Nah anda nampak siapa yang beriya-iya hendak runtuhkan MN.

Ahmad Jazlan memberitahu keputusan tersebut dibuat kerana PAS mahu mengekalkan hubungan dengan Bersatu. Selain itu mahu kekal bersama PN.

Tentunya ramai pembaca pening. Sedangkan pada 21 Ogos 2020 presiden Umno sendiri mempelawa Bersatu bersama MN. Surat mengenai sudah dijaja ke merata tempat.

Tiba-tiba Umno Kelantan meluap tengok hubungan PAS dengan Bersatu. Tidakkah ia seperti ingkar dengan keputusan Presiden Umno Ogos 2020. Ternyata Umno Kelantan memulakan episod hitam hubungan MN.

Bagaimanapun tindakan Jazlan akhirnya seperti diredai Ahmad Zahid. Selepas itu Umno memulakan serangan menghentam PAS. Ada sindiran PAS bermain di banyak kolam.

Adun BN diberi peruntukan

Bermula detik itu PAS diserang dan disindir siang dan malam. Namun pemimpin PAS berjiwa besar. Kerajaan PAS di Kelantan masih lagi menjalin hubungan erat dengan Adun Umno.

Mereka mendapat peruntukan kerajaan negeri. Tujuh Adun Umno mendapat peruntukan serupa seperti diberi kepada Adun PAS.

Bekas editor kanan sebuah akhbar mingguan mempersoalkan tindakan PAS tersebut. Katanya mengapa kerajaan PAS masih mahu berlembut dengan Umno.

“Sedangkan Ketua Umno Kelantan sudah memutuskan hubungan dengan PAS secara rasmi. Sepatutnya keistimewaan yang dinikmati Adun Umno ditarik balik.

“Tindakan kerajaan PAS boleh menjejaskan pengaruh politik di kampung-kampung. Ini kerana peruntukan kerajaan disalur terus kepada Adun Umno,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan hotel.

Malah di Dewan Undangan Negeri (DUN) tiada lagi istilah pembangkang. Tujuh Adun BN dan seorang Bersatu turut berada di saf kerajaan. Tidak kah apa yang berlaku itu menggambarkan jiwa besar pemimpin PAS.

Sedangkan Umno diketuai Jazlan menolak PAS, namun tujuh Adun BN masih boleh bekerjasama. Ini yang perlu rakyat tahu. Siapa sebenarnya mengkhianati perpaduan ummah. PAS atau Umno.

Situasi di Kelantan turut berlaku di Terengganu dan Kedah. Adun BN masih dilayan kerajaan negeri.

Sebaliknya di Pahang, lapan Adun PAS sudah menerima hukuman. Mereka tidak lagi mendapat peruntukan kerajaan negeri. Ia bermula awal tahun ini.

Ia disahkan Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar. Katanya biarpun tidak menerima peruntukan, namun Adun PAS tetap menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Biarpun begitu ada editor sebuah akhbar harian menyalahkan PAS secara total dalam susur galur isu MN. Sedangkan orang lain tidak menilai begitu.

Diungkitkan editor terbabit bolehkan PAS menerima pemimpin Amanah yang mengkhianati PAS sebelum ini. Jawapannya mengapa tidak. Naratif itu sudah lama diulangi pemimpin PAS.

Sekiranya ada pemimpin Umno sedia keluar dari belenggu DAP, PAS sedia menghulur tangan persahabatan. Lagi pun hampir kesemua pemimpin Amanah bergelar dikenali ramai kerana lama terbabit bersama PAS. – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -