Kelantan tidak peluk tubuh tangani isu bekalan air

- Advertisement -

SETIAP negeri pada realitinya, tidak ketinggalan mendapatkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu bekalan air bersih.

Bukan kerana masalah tidak pandai mengurus atau apa sahaja. Nombor wahidnya peruntukan atau bantuan kewangan. Bukan Kelantan sahaja yang berdepan masalah itu. Malah negeri-negeri lain termasuk Pahang, Pulau Pinang dan Selangor perlukan bantuan kewangan bagi meningkatkan projek bekalan air.

Kemampuan setiap negeri bagi mengurus bekalan air memang terhad. Cuba bayangkan Kelantan tersisih dalam tempoh begitu lama. Selama 13 tahun terpaksa mencari dana sendiri, ketika negeri lain mendapat geran daripada kerajaan Pusat.

- Advertisement -

Buktinya, boleh rujuk perbandingan Peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada setiap negeri setiap kali keluar Rancangan Malaysia (RMK).

Maksudnya apa? Maksudnya, setiap negeri memerlukan kerjasama dan bantuan daripada kerajaan Pusat biar pun sumber air di bawah bidangkuasa negeri-negeri. Tidak ada satu negeri yang boleh ‘stand alone’ menghadapi isu asas ini.

Jadi, adakah Kelantan hanya menunggu bantuan daripada kerajaan Pusat sahaja untuk selesaikan masalah air?

Sebenarnya, kerajaan Kelantan tidaklah sebebal itu. Bahkan kerajaan negeri mengorak langkah awal termasuk pernah meminjam daripada institusi kewangan bagi melaksanakan projek bekalan air.

Malah penswastaan projek bekalan air di Kelantan kepada syarikat swasta sebelum ini pun kerana masalah itu.

Kerajaan Kelantan juga mengeluarkan banyak peruntukan bagi menambahbaikan loji rawatan air. Antaranya seperti pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mini di Teluk Mesira, Ketereh, Jelawat, Meranti Baharu, Kedai Buloh dan Telong.

Ditambah pula dengan usaha-usaha menaiktaraf sistem di LRA-LRA sedia ada. Kesemuanya itu sekiranya kita buat kiraan secara menyeluruh, projek itu melibatkan belanja besar daripada belanjawan negeri.

Kesemua projek-projek yang dilaksanakan menelan belanja tidak sedikit. Hampir RM50 juta disediakan kerajaan negeri bagi melaksanakan projek pada tahun 2021 dan 2022.

Kesemua usaha itu bagi mengatasi isu bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama. Begitu juga projek menukar paip-paip lama bagi mengurangkan kadar kehilangan air di bawah tanah.

Hari ini di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan Keluarga Malaysia, projek meningkatkan bekalan air mendapat perhatian utama Putrajaya. Malah menteri dan pegawai kanan dari Putrajaya turun padang silih berganti.

Impian rakyat Kelantan dijangka dapat dilestarikan pada tahun 2030 apabila banyak projek menaik taraf LRA dan menukar paip siap sepenuhnya.

Apakah kegigihan kerajaan pimpinan ulama itu menggambarkan kerajaan Kelantan ‘duduk sajo jah ko’ menunggu bantuan daripada pusat? Jawapannya, tidak.

DZAFIR FIRDAUS AHMAD ZUBAIRY
Media Point Kelantan – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -