634,000 penduduk Pakistan hilang tempat tinggal

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Mangsa-mangsa banjir di Pakistan memerlukan segera baju, selimut tebal, pek makanan, keperluan bayi, kanak-kanak, OKU dan warga emas serta barangan hygiene.

Banjir besar yang melanda negara terbabit mengorbankan lebih 1,400 nyawa termasuk sekurang-kurangnya 496 kanak-kanak terbunuh dan hampir 12,700 penduduk cedera.

Pengarah I-Reach Johan Ariff Ismail berkata, hujan lebat yang melanda negara itu baru-baru ini menyebabkan golongan wanita, remaja dan warga emas terjejas.

- Advertisement -

Katanya, hujan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dianggarkan lima kali ganda purata 30 tahun, menenggelamkan 18,000 sekolah, empangan, jambatan dan pusat kesihatan.

“Lebih 1.17 juta rumah rosak dan hampir 566,000 rumah musnah setakat 8 September lepas,” katanya di sini.

Johan berkata, banjir besar menyebabkan hampir 634,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan kini berada di tempat terbuka bersama anak-anak.

Selain itu, katanya banyak keluarga kehilangan mata pencarian kerana banjir membunuh lebih 700,000 ternakan dan memusnahkan dua juta ekar tanaman dan kebun.

Oleh itu katanya bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, dana sangat diperlukan untuk membina semula kemudahan di samping menyalurkan bantuan asas.

“Tanpa bantuan, mereka akan terdedah kepada kelaparan dan wabak penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan taun dan ramai kanak-kanak boleh mati,” ujarnya.

Sumbangan boleh disalur melalui akaun Maybank 553038585368 I-Relief and Humanitarian Outreach.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat di talian http://www.wasap.my/601113388409/ – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -