Pendukung PAS, PN perlu jadikan Harakah media utama

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bekas Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamat bertekad menyumbang idea dan keringat bagi memastikan akhbar Harakah terus menjadi lidah perjuangan Islam.

Beliau berkata, peluang sebagai assabiqun akan dimanfaatkan bagi membantu media milik PAS terbabit untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

Katanya, beliau begitu ghairah untuk memanfaatkan pengalaman sebagai bekas wakil rakyat dan pendidik bagi memperkasakan jemaah melalui Harakah.

“Ini kerana misi dan visi Harakah meneruskan kesinambungan perjuangan gerakan Islam di negara ini bermula pada Mac 1987.

“Sejak tarikh itu Harakah terus melangkah ke hadapan sehingga menjangkau usia lebih 35 tahun sekarang, sedangkan industri media di seluruh dunia berdepan dengan kesuraman,” katanya di sini.

- Advertisement -

Menurutnya juga seruan pimpinan PAS pada muktamar PAS di Alor Setar baru-baru ini jelas mahu semua ahli dan pendukung PAS dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan Harakah sebagai media utama.

Kata beliau Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin menyarankan Harakah dijadikan bahan kempen wajib ketika jentera turun padang menemui pengundi.

Katanya, Harakah satu-satu media boleh digambarkan bercorak Islamik di negara ini yang masih bertahan sehingga sekarang.

Menurutnya kejayaan itu kerana mendapat sokongan dan dukungan padu penyokong PAS dan PN di seluruh negara.

“Tanpa sokongan tersebut tentunya Harakah sukar untuk terus beroperasi, sedangkan peranannya begitu penting sebagai saluran maklumat untuk rakyat.

“Sedangkan syarikat akhbar lain yang begitu gah sebelum ini pun banyak yang sudah ditutup kerana masalah kewangan,” ujarnya.

Malah beliau beliau menyokong kenyataaan Ir Khairil Nizam supaya jentera penerangan PAS bersikap defensive dan ofensive bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Katanya, strategi menyerang perlu dilakukan dan bukan sekadar menjawab isu dibangkitkan pihak lawan. – HARAKAHDAILY 14/9/2022

- Advertisement -