SUKMA ke-20: Kelantan sasar 13 pingat emas

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Kelantan menyasarkan sebanyak 13 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang akan bermula 16 hingga 24 September ini diadakan di Lembah Klang.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kontinjen Kelantan akan disertai 400 atlet, tidak meletakkan target yang besar pada temasya tersebut.

- Advertisement -

Namun kata beliau, pihaknya memberi tumpuan terhadap acara yang sudah sinonim atlet seperti olahraga, ragbi, pencak silat, kriket, badminton dan sukan online.

“Kita amat berharap agar sasaran tersebut akan dapat dicapai seperti yang disasarkan dan sekiranya ada tambahan pingat ia akan menjadi bonus kepada kontinjen Kelantan.

“Kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi atas kekurangan kemudahan sukan namun kita tetap mencuba dengan terbaik dan relevan dengan kemampuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Kelantan ke Sukma 2022 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan diperkenalkan barisan pengurus 31 jenis sukan dipertandingkan.

Turut hadir Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO, Zuraidin Abdullah; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Mohamad Imran Mansor dan Ahli Jawatankuasa MSN, Mohd Syahbuddin Hasim.

Sukma edisi ke-20 akan mempertandingkan 31 jenis sukan dengan 426 pingat emas menjadi rebutan selepas kali terakhir temasya sukan itu diadakan di Perak pada 2018. 

Manakala Kontinjen Kelantan akan menyertai sebanyak 27 jenis sukan yang menawarkan pingat sebanyak 213. Kontijen itu akan diketuai Zuraidin yang juga Adun Chetok.

Wan Roslan juga berkata selepas empat tahun berakhirnya Sukma ke-19 di Perak serta penularan wabak Covid-19 persiapan atlet turut terjejas.

Namun begitu katanya, melalui Majlis Sukan Negara (MSN) Kelantan, persiapan dilakukan bagi menghadapi termasya sukan tersebut.

“Setelah empat tahun bertungkus lumus bermula selepas Sukma ke-19 di Perak‚ atlet kita memerah keringat dan ada yang terpaksa berundur menarik diri ekoran pandemik.

“Walaupun begitu kita tetap membuat persiapan dan bakal diwakili olehatlet-atlet muda yang layak untuk mewakili Kelantan sehingga Sukma ke- 22,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -