Peringatan buat kita semua ketua keluarga

- Advertisement -

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ

- Advertisement -

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

 (Al-Tahrim: ayat 6)

Ayat ini amat mendebarkan. Memberi peringatan khususnya kaum bapa sebagai ketua keluarga. Kita perlu menjadi pelindung kepada isteri dan anak-anak. 

Hidup penuh berkasih sayang dan membangunkan iman. Membanting tulang mencari rezeki mencukupkan keperluan, serta menjadi tempat isteri dan anak-anak mengadu perhatian. Ini amanah dari Tuhan. 

Usahlah culas dan mencuaikan tanggungjawab menjaga keluarga. Apatah lagi berlaku zalim kepada mereka. Bahana menanti di dunia dan akhirat sana.

Solat menjadi tunjang kekuatan sebuah keluarga. Saling berpesan-pesan dengan kesabaran dan kebenaran.

Di peringkat Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Inisiatif Lelaki Qawwam telah digerakkan bermula November 2021. 

Saya dan pasukan menggerakkan usaha setelah mengenal pasti keperluan untuk memperkasa peranan golongan lelaki atau suami atau bapa sebagai nakhoda bahtera sebuah keluarga. 

Inisiatif ini telah mula dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk negeri-negeri. JAKIM telah diberi tanggungjawab sebagai sekretariat penyelaras inisiatif ini. 

Dengan situasi semasa, agenda ini akan terus diperhebat dan diperlebarkan supaya membentuk masyarakat sejahtera. Keluarga adalah aset dan segala-galanya bagi kita semua. 

Hari ini, di masjid-masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM, khutbah Jumaat akan menyentuh peranan kaum bapa untuk menjadi tonggak dalam keluarga.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 9/9/2022

- Advertisement -