Rakam siaran langsung di FB tembak orang ramai: 4 maut

Wajah suspek kejadian tembakan secara rambang yang merakam sendiri aksi serangan yang dilakukannya di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat pada 7 September 2022. (FOTO New York Post)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

MEMPHIS, Tennessee: Seorang lelaki bersenjata telah menembak mati empat mangsa dan mencederakan tiga yang lain dalam serangan secara rambang di seluruh bandar Memphis, sambil menyiarkan secara langsung aksi serangan yang dilakukannya itu Facebook.

Datuk Bandar Memphis, Jim Strickland pada Khamis (8 Sept) berkata, suspek dikenali sebagai Ezekiel Kelly, 19, merupakan bekas banduan yang dibebaskan dari penjara pada 16 Mac lalu selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun 11 bulan atas kesalahan melakukan keganasan awam, lapor wreg.com.

- Advertisement -

Sementara Ketua Polis Memphis, CJ Davis berkata, Kelly telah ditahan pada jam 9.20 malam Rabu (7 Sept).

Serangan pertama dilakukan suspek bermula kira-kira jam 12.56 pagi yang menembak mati seorang lelaki berusia 24 tahun di Lyndale, di kawasan kejiranan Highland Heights.

Dalam rakaman skrin siaran langsung di FB Live menggunakan nama samaran berkenaan, suspek dilihat keluar dari keretanya dan berjalan beberapa langkah ke sebuah kereta lain di stesen minyak BP di South Parkwsay E, sebelum mengeluarkan pistol dan menembak mangsa kedua, seorang lelaki sebanyak dua das pada kira-kira jam 4.38 petang Rabu, lapor New York Post pula.

“Suspek menukar kenderaan daripada sedan Infiniti biru kepada SUV Toyota kelabu dengan plat Arkansas AEV63K,” lapor News3 yang memetik kenyataan polis Memphis sambil menambah bahawa suspek merampas kereta SUV itu dan menembak mangsa ketiga, seorang wanita yang memandu kenderaan tersebut pada jam 4.40 petang Rabu di Norris Road berhampiran I-240.  

Terdahulu, polis Memphis memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada dan berhati-hati terhadap suspek yang dipercayai bertanggungjawab ke atas beberapa kejadian tembakan di bandar itu.

Sehubungan itu, pihak polis menggesa penduduk untuk berlindung di dalam kediaman masing-masing ketika mereka cuba memburu seorang lelaki ‘bersenjata dan berbahaya’ yang sedang melakukan tembakan secara rambang di beberapa lokasi di bandar itu. 

NBC News pula melaporkan pihak polis tidak segera menjawab permintaan untuk maklumat lanjut berkaitan tembakan rawak tersebut. 

“Kami tidak tahu motif suspek. Pada ketika ini, apa yang kami tahu bahawa dia bertanggungjawab dalam beberapa kejadian tembakan,” kata jurucakap jabatan polis Memphis. Mejar Karen Rudolph, memberitahu ahli gabungan NBC, WMC of Memphis dalam temu bual telefon. 

“Kami mendapat laporan bahawa dia merakam tindakannya itu di Facebook Live,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Daily mail.co.uk melaporkan suspek telah menembak sekurang-kurangnya dua mangsa di Memphis sebelum melarikan diri ke Arkansas.

“Dua tembakan dilaporkan. Seorang lelaki maut ditembak di stesen minyak BP di South Parkway E pada jam 4.38 lagi, manakala dua minit kemudian, seorang wanita cedera parah akibat tembakan di Norris Road berhampiran I-240,” lapor Fox 13.

Polis Memphis, lapor wreg.com kemudian menyenaraikan kronologi kesemua tujuh mangsa yang ditembak suspek:

  • 12:56 pagi: Seorang lelaki berusia 24 tahun terbunuh di Lyndale di kawasan kejiranan Highland Heights.
  • 4:38 petang: Seorang lelaki ditemui mati ditembak dalam kenderaan di stesen minyak di South Parkway E. Rakaman video menunjukkan seorang lelaki menaiki sedan kelabu berhenti di sebelah kereta mangsa dan melepaskan tembakan.
  • 4:40 petang: Seorang wanita cedera parah ditembak di Jalan Norris berhampiran I-240. Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta sedan gelap.
  • 5:59 petang: Suspek masuk ke kedai AutoZone di blok 4000 Jackson Avenue dan menembak seorang lelaki sambil membuat penstriman langsung di Facebook Live. Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal.
  • 7:23 malam: Seorang wanita terkorban ditembak suspek di Poplar Avenue and Evergreen Street, Midtown sebelum suspek kemudian melarikan SUV kelabu milik mangsa.
  • 7:24 malam: Seorang lelaki turut ditembak suspek di Poplar Avenue and Evergreen Street, Midtown.
  • 8:55 malam: Seorang wanita ditembak mati di Raines Road. – HARAKAHDAILY 8/8/2022
- Advertisement -