Gesa semua pihak bernaung bawah gagasan Penyatuan Ummah

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menggesa semua pihak bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah bagi mendepani cabaran mendatang khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak. Gagasan ini merupakan pintu gerbang penyatuan bukan sahaja umat Islam bahkan juga golongan bukan-Islam yang berpegang kepada prinsip yang sama.

Gagasan Penyatuan Ummah adalah pendekatan terbaik menyatupadukan umat Islam selain membentengi kebobrokan yang dicetuskan sesetengah kelompok berkepentingan dalam negara. Hal yang demikian termasuklah menjadikan gagasan ini sebagai formula boleh menang dalam PRU-15. 

Sudah sampai masanya umat Islam bersatu padu mempertahankan Islam daripada segala aspek khususnya medan politik yang sentiasa terbuka kepada ruang eksploitasi musuh. Ironinya, masih ada pihak yang sanggup mengenepikan gagasan ini semata-mata mahu mempertahankan kepentingan sendiri. 

Dewan Ulamak PAS Pusat ingin mengulangi gesaan bahawa gagasan Penyatuan Ummah merupakan strategi paling ampuh untuk memastikan kemenangan dalam PRU-15. Ia hadir menangani kerosakan pemerintahan Pakatan Harapan dan sewajarnya diteruskan bagi memperkukuhkan kedudukan Islam dalam negara.

YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
11 Safar 1444H bersamaan 8 September 2022M – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -