Serangan tikam bersiri di Kanada: 10 maut, 15 cedera

Rhonda Blackmore mengumumkan dua suspek serangan tikam bersiri yang telah menyerang 25 mangsa setakat ini di Saskatchewan, Kanada pada 4 September 2022 kini sedang diburu. (FOTO/Twitter/Royal Canadian Mounted Police).
- Advertisement -

Susunan  ZULHAIDI MANSOR

SASKATCHEWAN, Kanada: Serangan tikam secara bersiri dalam dua komuniti di beberapa lokasi di seluruh James Smith Cree Nation dan di kampung Weldon, di sini, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 15 lagi cedera.

Penolong Pesuruhjaya Royal Canadian Mounted Police (RCMP) Saskatchewan, Rhonda Blackmore pada Ahad (4 Sept) waktu tempatan berkata, beberapa mangsa dilihat telah menjadi sasaran suspek tetapi yang lain kelihatan diserang secara rambang, lapor TRT World

- Advertisement -

“Sungguh mengerikan apa yang berlaku di wilayah kita (Saskatchewan) hari ini.

“Jika anda berada di kawasan Regina, iaitu di lokasi suspek telah dilihat di ibu kota Saskatchewan sekitar waktu makan tengah hari, ambil langkah berjaga-jaga dan pertimbangkan untuk mencari perlindungan.

“Pastikan anda berada di lokasi yang selamat. Jangan mendekati orang yang mencurigakan. Laporkan sebarang individu yang mencurigakan, atau laporkan sebarang kecemasan atau maklumat kepada 9-1-1. Jangan dedahkan lokasi polis,” pesan Blackmore dalam twitternya.

Perkhidmatan Polis Regina berkata dalam siaran berita bahawa dengan bantuan Mounties (RCMP), mereka sedang berusaha di beberapa bahagian wilayah tersebut untuk mengesan dan menangkap dua orang suspek, dan telah mengerahkan sumber tambahan untuk keselamatan awam di seluruh bandar, termasuk di Stadium Mosaic, lokasi berlangsung perlawanan bola sepak.

Dua suspek yang kini diburu polis Saskatchewan berhubung serangan tikam bersiri dikenali sebagai Damien Sanderson (kiri) dan Myles Sanderson. (FOTO: RCMP Saskatchewan Twitter)

Sementara itu, The Guardian melaporkan bahawa Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, telah mengeluarkan kenyataan sokongan kepada ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan hari ini.

“Serangan di Saskatchewan hari ini amat mengerikan dan menyayat hati. Saya memikirkan mereka yang kehilangan orang tersayang dan mereka yang cedera. 

“Kami memantau keadaan dengan teliti, dan menggesa semua orang untuk mengikuti kemas kini daripada pihak berkuasa tempatan. Terima kasih kepada semua responden pertama yang berani atas usaha mereka di lapangan,” katanya dalam tweet yang dikeluarkan pada 7.30 malam (waktu Kanada).

Pasukan petugas forensik polis melakukan penyiasatan di lokasi kejadian selepas beberapa mangsa maut dan cedera dalam serangan tikam bersiri di Weldon, Saskatchewan, Kanada pada 4 September, 2022 (FOTO Reuters/David Stobbe)

Penduduk di sekitar James Smith Cree Nation telah menceritakan keganasan yang mencengkam komuniti mereka pada pagi Ahad ( 4 September) itu di media-media sosial. 

Seorang wanita menyiarkan imej pemegang pintu yang patah, sambil menambah bahawa dia gembira adik perempuannya tiada di rumah apabila kediamannya dipecah masuk.

“Ini selamanya akan membuatkan saya trauma,” tulis wanita itu.

Sementara yang lain menyiarkan penghormatan kepada ahli keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan itu, termasuk seorang wanita muda yang telah melawat datuknya pada malam sebelumnya, sebelum dia menjadi mangsa dalam serangan itu. – HARAKAHDAILY 5/9/2022

- Advertisement -