Strategi PAS bersifat nasional, bukan kenegerian

PAS
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tujuan kedatangan Islam adalah untuk menyelamatkan dan mengajak manusia seramai-ramainya, bukan menghambat menghalau, apatah lagi membunuh, demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Menurutnya, peperangan berlaku adalah kerana dipaksa musuh-musuh Islam, namun Islam tetap mendahulukan perdamaian di mana Nabi pilihan Allah Muhammad S.A.W menunjukkan pendekatan secara positif kepada semua manusia.  

“Sama ada Islam dan bukan-Islam. Para ulamak dakwah dan politik menggariskan beberapa pendekatan yang diambil oleh Nabi S.A.W dan inilah yang wajib kita ikut. Pendekatan himayah, pendekatan tahaluf, pendekatan taawun.  

Himayah ialah meminta perlindungan daripada sesiapa sahaja di zaman Islam itu ditindas, dizalimi, zaman belum ada kuasa, maka Nabi dan Sahabat-sahabatnya mendapat perlindungan daripada keluarnya Bani Hashim dan Bani Muthalib. 

“Perlindungan daripada kaum yang ada di Makkah, mereka yang ada sifat kemanusiaan walaupun mereka tak masuk Islam. Tetapi mendekati mereka yang baik, yang bersikap kemanusiaan, yang menjalin hubungan silaturrahim,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi. 

Jelasnya, kalangan Bani Hashim dan Bani Mutthalib dan kalangan kabilah yang lain, sehingga sanggup mempertahankan Nabi dan Sahabat-sahabatnya dengan jiwa raga walaupun tidak masuk Islam. 

Malah tegasnya, wajib beristiqamah yakni teguh di atas dasar dan prinsip sepertimana Nabi SAW dipujuk menerima jawatan menjadi raja pemimpin, diberi harta kekayaan dengan syaratnya tidak bawa Islam.  

“Maka Nabi tolak dengan keras. Tak ada tolak ansur dalam perkara dasar dan prinsip. Matlamat perjuangan, tegas dalam masalah ini. Ini menjadi pengajaran kepada kita. Mengambil pendekatan taawun, bertolong menolong dalam perkara baik, tak boleh dalam perkara jahat dan permusuhan. Maksiat.  

“Ketika berhijrah, Nabi mengambil khidmat seorang musyrik yang bukan-Islam, Abdullah bin Uraiqit yang belum Islam, memandu jalan ke Madinah, jalan pintas, jalan rahsia, walaupun dia bukan seorang Islam, dia bencikan kezaliman, tak bersama dengan mereka yang zalim dan melampau. 

“Ketika di Madinah, Nabi kita mengambil pendekatan tahaluf, bersefahaman dengan orang bukan-Islam di Madinah, dengan pendekatan perpaduan ummah. Yang pertama perpaduan umat Islam sendiri, yang kedua perpaduan manusia di atas nama kemanusiaan. 

“Menyatukan umat Islam Muhajirin dan Ansar Aus dan Khazraj di atas nama Islam, menjadi tonggak kerana Islam yang memimpin, Islam yang berkuasa, Islam yang memerintah, Islam yang memandu, perpaduan Islam menjadi tonggak,” jelasnya. 

Kemudian katanya, diajak orang bukan-Islam yang tidak ekstrem, kalangan Yahudi Bani Qaynuqa’, Bani Nadhir, Bani Khuraizah, Kabilah Khuzaah yang musyrik dan lain-lain lagi.  

Mereka itu menurutnya, bencikan peperangan dan kejahatan, lalu diajak bergabung sama dalam perpaduan, mewujudkan keamanan dengan pemerintahan Islam yang adil dan ada mereka masuk Islam. 

Dengan perpaduan ummat ujarnya, telah berjaya membina satu kekuatan, menyampaikan mesej Islam, sehingga menguasai kabilah-kabilah Arab dan akhirnya menakluk dunia. 

Penyelesaian nasional

PAS beritahunya, membawa penyelesaian dalam negara ini adalah dengan satu penyelesaian politik yang bersifat nasional dan bukan kenegerian.  

“Pendekatan strategi yang berbentuk nasional, kebangsaan, tidak boleh kenegerian, ini kena faham, kerana ada negeri yang nak minta autonomi, nak buat kerja sendiri, nak hadapi pilihan raya ini saya nak peringkatkan. 

“Ini sangat penting. Saya telah berjanji ketika PRU14 nak jadikan PAS King Maker. Selepas Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional (BN), kita menghadapi kerajaan yang lebih teruk daripada BN, yang lebih dahsyat.

“(Dua minggu setelah PRU14) PAS mengambil pendekatan perpaduan ummah mengajak parti-parti Melayu dan Bumiputera yang besar dalam satu gabungan untuk membuat perubahan, mengajak parti-parti bukan-Islam yang tidak ekstrem dalam gabungan untuk mengubah kerajaan. 

“Dan kita berjaya mencapai kejayaan. Dalam keadaan kita memandu, PAS memandu sedikit sebanyak, belum berkuasa lagi memandu. Kita perlu ke arah menggerakkan kekuatan kita untuk mendominasi kerajaan ataupun menguasai kerajaan sepenuhnya peringkat demi peringkat.  

“Dengan sebab itu saya minta supaya strategi yang bersifat jamaie, bersifat nasional, hendaklah dipelihara dan dijaga dengan baik. Jangan masing-masing bawa kepala sendiri dan negeri sendiri kerana nak cepat menang.  

Beliau mengingatkan mengenai janji Allah SWT yang pasti memberi kemenangan kerana dalam alam ini yang kekal hanyalah kerajaan Allah, sedang semua kerajaan dalam dunia tidak kekal.  

Tujuannya kata beliau, Allah hendak menguji manusia, dengan berlakunya senang dan susah, kaya dan miskin, sakit dan sihat, rebah dan bangun, menang dan kalah dalam kehidupan dunia ini termasuk orang Islam sendiri. 

Terangnya, kehidupan dalam dunia penuh dengan cabaran dan tugas yang diwajibkan oleh Allah adalah perkara biasa di mana Allah menyuruh kita bekerja dan berjuang untuk menegakkan Islam.  

Kemenangan urusan Allah 

“Bila menang, itu bukan urusan kita, itu urusan Allah. Allah Taala boleh memenangkan dengan mudah, dengan syarat kita memenuhi syarat syarat kemenangan. Kemampuan untuk mengisi kemenangan itu,” ujarnya memetik kisah Nabi Musa AS dengan kerajaan Firaun. 

Jelasnya, perkara tersebut pasti berulang, tetapi Allah terlebih dahulu meminta Nabi Musa istiqamah mengikut ‘roadmap’ Allah dan tidak mengikut jalan orang yang tidak mengerti. 

Menurut beliau, perkara cabang dan pendekatan, taktik dan strategi boleh berubah, tetapi dasar prinsip rukun tak boleh berubah di mana ianya adalah tetap sampai bila-bila 

“Istiqamah, dan jangan ikut jalan orang yang tak mengerti, tak mengerti ini macam-macam jenis, yang pertama putus asa, tak ada harapan Islam boleh menang sampai bila-bila. Tak percaya kepada kekuasaan Allah Taala, tak tahan lama, lari daripada perjuangan.  

“Yang terlalu gopoh, gopoh sangat nak menang cepat. Cepat letihlah kalau gopoh, cepat lari juga, yang berlaku. Kemudian, yang bermudah-mudah, tidak istiqamah, bertasahhul, merungkai dasar parti, merungkai dasar perjuangan.  

“Ada kalangan kita yang tinggal parti ini, buat parti baru, tak nyata Islamnya. Rungkai. Rungkaikan. Ini tasahhul, bermudah-mudah, merungkaikan dasar dan prinsip.  

“Tuhan kata, bangun menyatakan kami nak menegakkan Islam, tegas. Tak tipu orang. Ini kena sembunyikan. Kononnya sembunyi, bukan sembunyi, penakut, pengecut. 

“Kemudian tasyaddud melampau nak menang cepat, tindak melampau. Secara keras. Kita mengambil pendekatan damai, muwajahah silmiyyah, hendaklah diutamakan. Ini diajar oleh Islam,” ujarnya. 

Realiti umat 

Menurut beliau, dalam menghadapi umat atau bangsa yang sama, tetapi tenggelam dalam kejahilan mesti utamakan pendekatan damai seperti menyalakan cahaya buat mereka sedar. 

Katanya, pendekatan keras dalam negara sendiri dan umat sendiri hanya akan mencetuskan masalah yang besar, mencetuskan peperangan sama sendiri dan proksi. 

Beliau memetik pengajaran peperangan sesama sendiri dalam kalangan umat Islam yang digunakan oleh kuasa-kuasa besar dunia yang mencatur dalam negeri umat Islam. 

“Tak dinafikan ada yang salah ijtihad tak dinafi ada yang salah ijtihad, tak dinafi. Salah ijtihad dalam satu umat, tidak boleh menimbulkan peperangan, mesti dicari penyelesaian. 

“Kalau berkhilaf, balik pada Quran dan sunnah. Perkara dasar. Perkara furuk boleh bertolak ansur,” ujarnya memetik bagaimana Imam-imam Mazhab saling berguru satu sama lain, tetapi kini berlawan sesama pondok atau guru atau ulamak.

Menurut beliau lagi, ulamak-ulamak PAS telah memainkan peranan besar dalam tahun 50-an, tahun 60-an, antara kaum tua dan kaum muda ketika mana di Indonesia, India, Mesir dan lain-lain berlaku pertembungan tajam. 

Jangan ramaikan musuh

Menyentuh mengenai politik nasional dan antarabangsa, pengingatnya tidak boleh bersikap meramaikan musuh dalam perjuangan yang mesti dihadkan jumlah jumlah musuh itu. 

“Dengan sebab itu, cari parti NGO yang boleh bergabung dengan kita, termasuk yang bukan-Islam. Jangan cari banyak yang berkelahi dengan kita. Ini yang diajar oleh Nabi, Quran mengajar begitu. Akhirnya Islam berdaulat, Islam berkuasa.  

“Pendekatan mengecilkan lawan, jangan meramaikan lawan. Itu langkah yang sangat penting. Untuk mencapai kemenangan, kita mesti mempunyai syarat-syarat kemenangan, istiqamah dan faham, jangan ikut jalan yang tak mengerti,” ujarnya. 

Katanya, PAS akhir-akhir ini semakin dapat menembusi masyarakat yang dapat dilihat daripada pertambahan ahli, termasuk tembok pemisah dengan kalangan bukan-Islam hasil kewujudan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). 

“Kalau DAP boleh lantik Ahli Parlimen, orang India, kawasan majoriti Cina, mengapa kita tak boleh minta orang Cina sokong kita dalam pilihan raya tak boleh tembusi? Banyak orang India jadi wakil rakyat DAP, orang Cina boleh pilih dia.  

“Mengapa tak boleh pilih Melayu? Tak boleh pilih orang India yang sokong kita dewan himpunan?” ujarnya mengajak semua perancangan digerakkan dengan bijaksana dan secara berjemaah. 

Beliau mengakhiri dengan pantun: 

Buah salak buah kedondong, 
Dikumpul, diisi ke dalam baldi, 
Bukan salah ibu mengandung, 
Tapi salah memangkah undi. 

Derma dikumpul ke dalam peti,  
Peti menghempap kepala buaya, 
Mari kita bersatu hati, 
Melangkah menuju Putrajaya. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -