PRU15: Jentera PAS wajib ambil pengajaran PRN Johor, Melaka

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

ALOR SETAR: Jentera PAS digesa agar mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebagai persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Wakil pembahas PAS Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, PAS telah melalui pengalaman dalam dua PRN, masing-masing di Melaka dan Johor.

- Advertisement -

“Namun, tidak perlu disebutkan hasil daripada post-mortem yang telah dilakukan. Tetapi (apa yang penting ialah) kunci kepada permasalahan yang berlaku dan bagaimana ahli-ahli PAS menanggapi ketaatan di atas keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan PAS Pusat,”  kata beliau.

Beliau menambah, PAS Melaka amat tertarik dengan saranan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya semalam bahawa dalam menghadapi PRU15 ini, apa yang diperlukan ialah pemerkasaan tarbiyah dan organisasi sebagai suatu disiplin ketaatan.

“Kita amat tertarik apabila Tuan Guru Presiden ‘menjabarkan’ (menghuraikan) dalam ucapan dasarnya, mengambil peristiwa Badar dan juga peperangan Uhud yang akan memberikan satu pengajaran yang besar kepada ahli-ahli PAS dalam menjalankan tugas kita sebagai amilin bagi memenangkan Islam.

“Ketaatan kepada kepimpinan telah dicatatkan Allah SWT dalam surah Ali Imran, yang mana  dalam peristiwa Uhud itu bagaimana ketaatan kepada perintah Rasulullah SAW itu menjadi suatu tonggak kepada memastikan kemenangan total oleh tentera-tentera Islam,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi wakil PAS Melaka sebagai pembahas Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar PAS Pusat kali ke 68 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini, pagi tadi.

Tambah Bakri, sangat malang apabila sebahagian daripada para sahabat Nabi  ketika itu yang melihat bahawa ghanimah kemenangan sudah hampir dan harta berada di depan mata, mereka lupa kepada arahan Rasulullah SAW yang menyebabkan 70 sahabat gugur syahid di medan perang.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka berkata, dengan memperkukuhkan tarbiyah juga akan membentuk pemimpin-pemimpin PAS yang tinggi nilai integriti.

“Maka, apakah yang dapat membendung integriti? Apakah yang dapat membina kekuatan integriti kalau bukan Islam dan akidah Islam? 

“Dan inilah yang sebenarnya yang menjadi pagar menyebabkan kita berjaya mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah tanpa sebarang tuduhan rasuah, pecah amanah dan integriti

“Di mana kekuatan ini dibina? Kekuatan ini dibina di alam tarbiyah yang daripada hari pertama kita bersama parti maka tarbiyah di mana hingga kita menjadi pemimpin yang bakal memimpin negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -