Muktamar PAS lulus usul satukan parti politik Melayu

Perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat, Roslan Md Esa
- Advertisement -

ALOR SETAR: Muktamar Tahunan PAS ke-68 sebulat suara meluluskan usul untuk membentuk sebuah kerajaan dominan Melayu dan Islam sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul yang dibawa Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) itu mengambil kira beberapa justifikasi.

Perwakilan DUPP, Roslan Md Esa berkata, antaranya supaya tidak berlaku perpecahan undi di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

- Advertisement -

Katanya, strategi satu lawan satu diperlukan bagi mengelak pertembangan sesama parti politik teras Melayu Islam.

Selain itu, usul juga menolak sebarang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) dan strategi ‘khemah besar’ dalam PRU15.

Menurut Roslan, usul dikemukakan itu selari dengan ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam subtajuk ‘Memimpin usaha Penyatuan Ummah.

“PRU adalah perang dalam konteks negara demokrasi berpilihan raya. Sebuah kerajaan pemerintahan dominan Melayu dan Islam yang kuat hanya dapat dibentuk jika parti politik teras Melayu iaitu PAS, dan Bersatu menghadapi pilihan raya Umum ke-15 kelak sebagai satu pasukan.

“Tujuan usul bawa adalah untuk menyatukan kembali parti-parti politik teras Melayu Islam dalam PRU15. Dalam masa sama sedar, majoriti orang Melayu serik dengan pengalaman 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) yang ditunggangi DAP dan PKR yang majoriti berideologi liberal,” katanya.

Usul kemudian disokong oleh Perwakilan Taiping, Mahjub Hanafi dengan hujah penyatuan antara PAS dan Umno mesti diteruskan melalui peringkat akar umbi.

Katanya, walaupun Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa kali menyatakan keputusan Umno untuk bergerak solo, namun hubungan antara ahli PAS dan Umno di akar umbi tidak patut diputuskan.

Tambah Mahjub, undi daripada Umno adalah penting untuk mewujudkan kekuatan politik negara.

“Hubungan antara ahli PAS dan Umno di peringkat akar umbi adalah mesra, apabila kita panggil program, mereka datang dengan rasa terbuka hati.

“Jadi, pimpinan PAS perlu membuat kenyataan dengan berhati-hati supaya jangan sampai putus hubungan mesra ketika ini, walaupun Presiden mereka sebut bertegas untuk bergerak solo,” katanya.

Justeru, Mahjub mencadangkan supaya rangka pelan tindak yang tersusun dibuat bagi meneruskan hubungan dan usaha sedia ada.

Beliau turut menyarankan ahli dan pimpinan PAS tidak berputus asa menghantar surat jemputan kepada ahli dan pemimpin Umno untuk hadir dalam program anjuran PAS bagi menunjukkan kesungguhan PAS.

Selain itu, Mahjub juga mencadangkan pimpinan PAS untuk membuat kenyataan menghargai ahli Umno di peringkat akar umbi dan sentiasa bersedia dengan penyatuan Ummah.

Bagaimanapun usul mendapat bantahan dari Perwakilan Tenggara, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang menganggap ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan PAS dalam isu penyatuan.

Katanya, PAS perlu memperkasakan Gagasan Sejahtera dan membuka peluang kepada parti termasuk parti bukan Islam dan Parti Veterasn untuk menyertai PAS dalam PRU15.

Peluang itu katanya, akan memberi lebih banyak undi kepada PAS.

Usul kemudian dipertahan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kerana menganggap pentadbiran semasa Pakatan Harapan (PH) itu lebih teruk daripada pentadbiran Barisan Nasiona (BN).

Perwakilan DPPM, Nazrul Nazir berkata apa yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) semasa mentadbir negara banyak menggugat institusi Melayu dan Islam.

Justeru mewakili DPPM, beliau menegaskan Pemuda PAS akan mempertahankan apa sahaja keputusan pimpinan berkenaan isu itu.

Daripada 13 usul yang diluluskan semasa muktamar yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut kali ini, hanya tujuh usul yang dibahas. Enam usul lain diluluskan tanpa bahas. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!