UMMAH isytihar 9 Feb ‘Black Friday’ untuk Malaysia

Mohd Zai dalam sidang media selepas program Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman Negara, Putrajaya pada hari ini, Jumaat, 9 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengisytiharkan hari ini, 9 Februari sebagai hari paling hitam dan gelap atau ‘Black Friday’  untuk seluruh negara yang akan diingati setiap tahun selepas daripada ini.

Presiden UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata berkata demikian susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 Seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan terbatal dan tidak sah yang diumumkan sebentar tadi.

- Advertisement -

“(Penjajah) Inggeris tidak berani untuk mengkafankan undang-undang syariah. Tetapi pada hari ini kerajaan kita dipimpin oleh orang Melayu-Islam, hakim orang Melayu-Islam, penyaman orang Melayu-Islam, judge (menghakimi) orang Melayu-Islam juga.

“Namun, mereka sanggup mengkafankan Enakmen Jenayah Syariah di negeri Kelantan. Saya nak menegaskan bagi pihak seluruh gabungan NGO-NGO Islam, bermula daripada detik ini, kita akan roadshow ke seluruh negara,” tegasnya.

Menurut beliau, isu tersebut adalah rentas parti politik di mana ia membabitkan hal seluruh umat Islam Malaysia dan berpayung di bawah Pengerusi Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yakni Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Hari ini, kita duduk di bawah baginda untuk baginda menyuarakan perkara ini kepada kerajaan dan juga kita akan menghantar satu memorandum mewakili rakyat dan umat Islam dalam negara kita di atas kegusaran dan kebimbangan kita bahawa di mana lagi undang-undang Islam bagi umat Islam. 

“Kalau 16 perkara ini dibatalkan, undang-undang mana lagi umat Islam nak kita ikut? Adakah undang-undang yang selain daripada itu? Itu terserah kepada umat Islam dalam negara kita,” ujarnya.

Beliau berkata demkian dalam sidang media selepas program Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Mohd Zai juga mengingatkan umat Islam pentingnya perpaduan termasuk kalangan Ahli Parlimen untuk membuat satu pindaan Perlembagaan dalam negara di mana Yang di-Pertuan Agong menjadi tonggak kepada rakyat.

“Sultan Selangor juga menjadi tonggak kepada kita dan insya-Allah, kita akan berpayung berada di bawah naungan serta komitmen baginda untuk mempertahankan dalam MKI usaha menyelamatkan syariah,” katanya.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -