Bila rakyat berbeza pandangan dengan tafsiran mahkamah

Sekitar program Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman Negara, Putrajaya pada hari ini, Jumaat, 9 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

Saya hanya melontarkan secara spontan dari sudut pandang seorang rakyat Malaysia yang faham bahawa Islam adalah agama Persekutuan negara tercinta. Bahawa hal ehwal Islam adalah hak dan tanggungjawab negeri.

Mahkamah Persekutuan sebentar tadi membatalkan 16 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Majoriti rakyat Kelantan melalui proses demokrasi berpilihanraya telah memberi mandat kepada PAS untuk memerintah negeri itu sejak tahun 1990.

Rakyat Kelantan sedar bahwa matlamat perjuangan PAS adalah memartabatkan Islam, sokongan mereka sejak 1990 bermakna mereka reda Islam dilaksanakan.

Rakyat telah memberi mandat mereka dan kerajaan atas mandat rakyat itu melalui majoriti yang cukup meluluskan enakmen ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diperkenankan Sultan Kelantan, Raja yang diberi kuasa memelihara adat istiadat orang Melayu dan Islam di negeri Baginda.

Islam bagaimana yang mahkamah faham sebenarnya? Berbeza dengan fahaman dan kehendak rakyat?

Saya merasakan Islam yang merupakan aqidah dan anutan majoriti rakyat dalam negara ini perlu dipertahan dan dimartabatkan biar perkasa ia dan tidak layu dan longgar angkara pentafsiran mereka yang tidak authoritative  berkenaannya.

Saya yang awam ini melihat keputusan mahkamah menghalang usaha memartabatkan Islam dalam negara Merdeka angkara berpegang dan menafsir pada sumber warisan British. Sedangkan rakyat khasnya umat Islam mahu sebaliknya.

Kerajaan perlu perbetulkan situasi ini kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan sehingga membangkitkan keresahan rakyat.

Kita menghormati institusi kehakiman dan tidak berniat menghinanya, tetapi suara rakyat adalah suara keramat jangan sampai ia dilihat telah dipadamkan.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -