KUALA LUMPUR: PAS Selangor mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Exco Infrastuktur dan Pertanian Selangor bahawa terdapat sembilan projek tebatan banjir ‘sakit’ di Selangor.
Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, sehingga hari ini terdapat 41 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berjumlah RM482 juta di Selangor.
“Semua projek sakit ini tertangguh pelaksanaannya daripada tempoh yang telah ditetapkan.
“Malah ada sebahagiannya sudah diberi kelulusan lanjutan masa kepada kontraktor.
“Kesannya, Selangor kerap dilanda banjir kilat dengan kekerapan luar biasa pada tahun ini akibat ban di tebing sungai pecah apabila hujan lebat berlaku walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PAS Selangor.
Beliau berkata, pada Mei tahun lepas Jabatan Pengaliran Selangor (JPS) Kuala Selangor melaporkan projek RTB Sungai Buloh mengalami kelewatan 19 peratus atau 152 hari kelewatan sehingga 30 April 2023.
Projek yang dijadualkan siap Mac tahun ini diberi kelulusan lanjutan masa kali pertama sehingga April 2024 dan kelulusan kedua sehingga Disember 2024.
Tambah Zurk lagi, kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan segera dengan memberi amaran keras walaupun kelulusan lanjutan masa diberikan.
Bagi kontraktor yang masih gagal mematuhi arahan daripada JPS Selangor setelah diberi cadangan perlu disenarai hitamkan dan ditamatkan kontrak serta merta.
Katanya lagi, peruntukan RM3 bilion yang baru diumumkan tidak ada guna sekiranya projek sakit ini masih tiada jaminan mampu disiapkan seperti dilaporkan JPS.
“Kerajaan negeri tidak boleh membiarkan sebarang kompromi melampau lagi dan kaedah penyelesaian baharu mesti segera diangkat untuk mengatasi masalah banjir kilat dan projek sakit yang masih tertangguh,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!