Tawaran kerjasama dengan PH sekadar cadangan

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

ALOR SETAR: Cadangan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang disebut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini hanya sekadar cadangan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu sekadar untuk menunjukkan sikap keterbukaan terhadap sebarang cadangan awal.

“Namun, apa jua situasi, PN mempunyai pendirian dan sebarang keputusan yang kita buat dan telah buat adalah secara musyawarah bersama.

“Oleh itu, apa pun situasi dan keadaan kita akan terlibat, dan kemungkinan besar Pilihan Raya Umum akan melihat pertembungan beberapa penjuru.

“Tiga atau empat penjuru, kita sudah bersedia dan kita mempunyai strategi tertentu yang akan kita hadapi apabila pilihan raya diadakan untuk menentukan kejayaan kita,” katanya ketika semasa menghadiri Muktamar PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Tambah Muhyiddin, cadangan kerjasama itu diajukan sebagai respon suara Ketua Pemuda Perikatan Nasional semasa Konvensyen Perikatan Nasional baru-baru ini.

“Saya hanya respon kepada cadangan itu kalau boleh berlaku, tetapi saya faham situasinya agak sukar. Apapun situasinya kita akan menghadapi realiti.

“Kalau ada pertembungan, kita akan lawan, kita bersedia untuk menghadapi tiga penjuru atau empat penjuru, tiada masalah kepada kita,” katanya.

Kata Presiden Bersatu itu juga ucapan dasar yang disampaikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak menyebut tentang masalah dan isu yang dihadapi negara dan pandangannya mengenai PRU15.

Beliau berpandangan, pesanan itu tepat pada masa memandangkan terdapat kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Apapun, dengan mesej yang telah disampaikan tadi, bermakna persiapan untuk menghadapi bukan sahaja dalam kalangan pimpinan PAS, tetapi parti dalam PN kita sudah mulakan.

“Jadi, dengan pesanan tadi bermakna semua pihak jentera parti mesti membuat persiapan, yang selengkap mungkin untuk menentukan kemenangan kepada PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -