Pogba bayar 100,000 Euro kepada pemeras ugut

- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pemain tengah Perancis, Paul Pogba yang menjadi sasaran pemerasan rakan zaman kanak-kanak sejak Mac lalu, dikatakan membayar 100,000 Euro kepada kumpulan terbabit pada musim bunga.

Ahad lalu, Pogba, 29, mengeluarkan kenyataan mendakwa menjadi mangsa cubaan peras ugut kumpulan jenayah terancang.

- Advertisement -

Pendakwa raya Perancis pula sedang menyiasat dakwaan bahawa selain rakan zaman kanak-kanak ketika mereka membesar di pinggir timur Paris, antara yang memeras ugut Pogba ialah abangnya sendiri, Mathias Pogba.

Mereka dikatakan menuntut 13 juta Euro dan berulang kali menakutkannya, mendakwa dia tidak menyokong mereka selepas menjadi bintang antarabangsa.

“Pihak berkuasa di Itali dan Perancis telah dimaklumkan sebulan lalu dan tidak akan ada ulasan lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan,” kata Paul Pogba dalam satu kenyataan yang ditandatangani peguamnya, ibunya Yeo Moriba dan ejennya.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu bahawa mereka boleh mengesahkan kebanyakan butiran dalam media Perancis dan dalam kenyataan Pogba.

Pendakwa raya Perancis memberitahu bahawa siasatan dipertanggungjawabkan kepada OCLCO, sebuah unit dalam Polis Kehakiman yang ditugaskan untuk menyiasat jenayah terancang.

Pogba mengalami kecederaan lutut dalam sesi latihan bersama Juventus bulan lalu. Dia memilih untuk tidak menjalani pembedahan dan sebaliknya, menjalani terapi konservatif untuk kembali cergas dan dapat beraksi di Piala Dunia Qatar bermula 20 November akan datang.

- Advertisement -