Bournemouth pecat Parker selepas dibelasah Liverpool

Pengurus Bournemouth, Scott Parker
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pengurus Bournemouth, Scott Parker dipecat, tiga hari selepas kelab Liga Perdana yang baru dinaikkan pangkat dibelasah 9-0 di Liverpool yang juga kekalahan ketiga berturut-turut.

Kelab selatan England yang sedang bergelut itu berada di kedudukan keempat dari bawah dengan tiga mata daripada empat perlawanan.

- Advertisement -

“Kelab ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Scott dan pasukannya atas usaha mereka selama bersama kami,” kata pemilik kelab, Maxim Demin, dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, untuk terus maju sebagai sebuah pasukan dan sebuah kelab secara keseluruhan, kami tanpa sebarang syarat perlu seiring dengan strategi untuk mengendalikan kelab secara mampan.”

Bournemouth menyatakan pencarian pengurus baharu akan dimulakan serta-merta dan jurulatih pasukan utama, Gary O’Neil akan mengambil alih untuk sementara waktu. Kelab melayan Wolverhampton Wanderers pada hari ini.

Komen Demin juga merupakan jawapan kelab terhadap temu bual Parker selepas perlawanan di Anfield apabila kekalahan 9-0 itu menyamai rekod kekalahan terbesar Liga Perdana.

Dalam temu bual itu, Parker berkata tidak terkejut dengan keputusan itu dan memerlukan beberapa pemain baharu untuk menguatkan pasukannya.

Sementara itu Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, melahirkan simpatinya terhadap Parker.

“Apabila saya mendengar berita itu, saya menyedari betapa pentingnya pada masa ini untuk mempunyai pemilik yang betul di kelab,” katanya.

Bournemouth dimiliki ahli perniagaan Britain kelahiran Rusia, Demin yang pada 2019 mengambil alih pemilikan penuh kelab itu selepas memperoleh pegangan awal pada 2011.

Kelabnya hanya menandatangani pemain baharu, Marcus Tavernier dari Middlesbrough dan Marcos Senesi dari Feyenoord, selain ejen bebas Ryan Fredericks, Joe Rothwell dan Neto pada musim ini.

“Sesetengah kelab dimiliki oleh negara, tetapi yang lain mempunyai struktur seperti kami dan mungkin Arsenal,” kata Klopp.

“Tiga pasukan yang muncul (dari Liga Kejuaraan – divisyen kedua)… Nottingham Forest berbelanja (membeli pemain baharu), Fulham dan saya tidak ingat, Bournemouth, melakukan perkara serupa, ini menyukarkan bagi seorang jurulatih. Saya rasakan untuk Scott.”

Selepas memenangi perlawanan pembukaan musim ini di tempat sendiri menewaskan Aston Villa, Bournemouth mengalami kekalahan dalam tiga perlawanan berturut-turut. Namun perlawanan itu menentang lawan enam pasukan utama Liga Perdana, iaitu Manchester City, Arsenal dan Liverpool.

Walaupun pemecatan Parker hanya selepas 25 hari musim ini, katanya tindakan itu suatu kejutan dan bukan boleh dijadikan teladan.

Paul Sturrock dipecat oleh Southampton selepas sembilan hari ketika musim 2004-05, manakala Peter Reid bertahan selama 12 hari pada musim 1993-94 sebelum berpisah dengan Manchester City.

Newcastle juga pernah bertindak serupa beberapa kali dengan Kenny Dalglish (1998), Bobby Robson (2004), Kevin Keegan (2008) dan Ruud Gullit (1999), namun semuanya dilakukan selepas bulan Ogos.

- Advertisement -