BERSATU tidak boleh dilihat sama seperti PAN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan BERSATU kepada Umno tidak boleh dilihat sama seperti PAN terhadap PAS kerana satu parti telah menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi satu lagi masih setia bersama.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, BERSATU telah berjasa besar di mana bersama kumpulan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR menyebabkan Kerajaan PH tumbang.

Tegas beliau, tanpa tindakan demikian maka hari ini Umno dan PAS masih menjadi pembangkang, tetapi langkah BERSATU itu membolehkan kedua-dua parti turut berada dalam kerajaan sekarang.

“Bila Kerajaan PH tumbang, kita tak ada satu parti (boleh) nak memerintah sebab tak tahu siapa nak jadi kerajaan. Pada waktu itu kita cadangkan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai Perdana Menteri. Umno sokong, PAS sokong, BERSATU confirmed sokong. Jadi sekarang PAS, Umno duduk dalam kerajaan atas jasa BERSATU.

“Kalau BERSATU tak keluar daripada PH, Umno, PAS tetap sebagai pembangkang sekarang. Jadi bagi PAS, jasa BERSATU ini besar, jasa BERSATU menyebabkan Umno pun jadi kerajaan, PAS jadi kerajaan. Sebab itu bagi PAS kita nak satu penyatuan tiga-tiga parti ini.

“Umno memang dia tak nak BERSATU. Tapi bagi kita kata, you fikirlah sendiri, kalau BERSATU tak keluar, awak tetap pembangkang sekarang. Sekarang dah kita jadi kerajaan, kita nak tendang BERSATU, (itu) tak boleh,” imbas beliau memperingatkan.

Menurut beliau, Umno melihat BERSATU sebagai pengkhianat dan serpihan kepada parti itu sebagaimana tanggapan terhadap PAN yang muncul wujud daripada asal PAS sebelum daripada ini.

Akui Dato’ Tuan Ibrahim, BERSATU wujud daripada mereka yang keluar dan dipecat daripada Umno, tetapi kerana memperjuangkan isu besar berkaitan integriti antaranya seperti kes 1MDB.

Begitu juga katanya, daripada kalangan yang melompat parti ke BERSATU dengan dianggap sebagai pengkhianat telah berbuat demikian kerana lari daripada kes-kes besar dalam Umno pada waktu itu.

“Bagi dia (Tan Sri Muhyiddin), dia tak boleh kompromi dengan kes macam ni. Maka dia keluar. Jadi serpihan ni bukan suka-suka. Tapi kerana dasar (prinsip) dia, dia tak setuju dengan apa yang dibuat oleh pimpinan Umno, maka dia keluar. Tetapi walaupun dia keluar, dia masih terima Umno.

“Tapi sekarang satu kita ada Akta Antilompat Parti. Yang kedua kerajaan sekarang ni kerajaan bersama, tak ada kepentingan dah untuk lompat-lompat ni,” ujar beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) merasionalkan isu tersebut.

Beliau mengupas demikian ketika bersiaran dalam rancangan Feng Ren Guan pengendali aktivis yang juga pemerhati isu semasa dan sosial, Lum Chih Feng di Youtube, kelmarin

Cerita beliau, PAS dan Umno yang memeterai Muafakat Nasional (MN) bersedia menerima parti-parti lain dan telah menulis surat menjemput BERSATU untuk menyertai dan dipersetujui parti itu.

Namun, setelah itu katanya, Umno tidak terima disebabkan kes lompat parti tersebut yang dianggapnya sebagai musuh dan beliau selaku Pengerusi Bersama MN telah menasihati rakan-rakan dalam Umno.

“Saya kata mereka dah korban ya, BERSATU dah korban keluar daripada PH. Jadi kita tak boleh samakan dia dalam PH. Macam PAS, kita, kenapa kita tak boleh terima PAN?
Sebab PAN still bersama PH. Kalau PAN keluar daripada PH tak ada isu.

“Jadi sekarang ini BERSATU keluar daripada PH. Jadi kita kena terimalah hakikat bahawa mereka ini perlu duduk bersama dalam gabungan kita,” ujarnya mengimbas nasihat pernah disuarakan itu.

Beliau juga mengulas bahawa PAN tidak menjadi ancaman kepada PAS selepas segelintir yang keluar parti pada tahun 2015 menubuhkan wadah itu sebagaimana keputusan PRU14 lalu.

Terangnya, walaupun gelombang PRU14 adalah besar, tetapi hanya berlaku di Pantai Barat, tidak di sebelah Pantai Timur, sebaliknya PAS mendapat lonjakan politik menang dua pertiga di Kelantan dan Terengganu, selain menambah kerusi di Pahang, Perak dan Kedah.

Bahkan menurutnya, keputusan PRN Melaka dan Johor menyaksikan sokongan kepada PH merosot dan undi kepada DAP, PKR dan PAN jatuh dengan teruk yang memperlihatkan pilihan rakyat.

“Jadi oleh kerana itu saya tengok sekarang ni rakyat mula tengok parti mana mereka nak pilih sebagai mengetuai kerajaan. Dan kita harapkan Perikatan Nasional jadi pilihan sebab rakyat perlu rasa kepimpinan baru yang kita kemukakan pada rakyat, yang itu harapan kitalah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -