Langkah Umno makin memburukkan imej sendiri

- Advertisement -

UMNO kena kembali kepada hasrat rakyat. Dalam suasana rakyat dan anak muda semakin menjauh dengan politik, langkah Umno memihak kepada DS Najib adalah langkah mundur. 

Sewajarnya Umno menjadikan kes ini sebagai batu loncatan untuk membersihkan Umno daripada persepsi negatif terhadap Umno. 

Imej persepsi Umno sebagai parti korup, tiada integriti, budaya rasuah berakar umbi dan penyelewengan sepatutnya dibersihkan menerusi kes DS Najib. 

Cukup sekadar, Umno mengatakan kami berpegang teguh dengan prinsip integriti dan kami menerima hukuman yang diberikan kepada Najib Razak. 

Seperenggan ungkapan ini sudah cukup untuk memperlihatkan Umno nekad membersihkan imej mereka. 

Malangnya, terlalu malang Umno mengambil langkah condong ke arah mempersoal keputusan yang telah dibuat. 

Lebih memalukan ucapan Azalina Othman berkenaan Peguam Negara menambahkan tebal persepsi bahawa Umno ini memang tak boleh diharapkan. 

Itu belum dikira dengan komentar-komentar liar daripada beberapa pimpinan Umno yang mempersoalkan keadilan mahkamah. 

Jikalah ada sedikit hikmah dalam kepimpinan Umno menyambut kenyataan Perdana Menteri yang konsisten tidak mahu ada campur tangan dalam urusan mahkamah, pastinya imej Umno kembali pulih. 

Malangnya, Perdana Menteri seolah-olah dijadikan bahan sorakan dan ejekan oleh Umno dalam Taklimat Khas Presiden Umno baru-baru ini. 

Jadi, bagaimana imej Umno yang sepatutnya terpulih dengan kenyataan Perdana Menteri dan kes DS Najib ini, akhirnya diambil langkah yang silap membusukkan lagi imej Umno. 

Biarlah ‘pengorbanan’ DS Najib masuk penjara itu berbaloi dengan membersihkan imej Umno. Namun, ianya kelihatan sia-sia, DS Najib ke penjara, imej Umno membusuk jua. 

Tulisan ini hanyalah sebuah nasihat dan sedikit rasa ralat sebagai seorang sahabat. Masih ada masa untuk Umno memusingkan halatuju bukan ke arah penjara kajang tapi tujulah bersama Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -