348 kanak-kanak maut bencana banjir di Pakistan

Sekurang-kurangnya 1,033 maut dalam malapetaka banjir terbaharu di Pakistan. (FOTO Reuters)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

LAHORE: Perubahan iklim, hujan monsun yang  lebat dan banjir telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,033 nyawa termasuk 348 kanak-kanak, dan menyebabkan 1,527 lagi cedera di Pakistan sejak pertengahan Jun tahun ini.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) Pakistan dalam kenyataan pada Ahad (28 Ogos) berkata 119 orang lagi meninggal dunia dan 71 cedera dalam tempoh 24 jam terakhir, lapor BBC.

- Advertisement -

“Sekurang-kurangnya 33 juta penduduk Pakistan telah terjejas dan kehilangan tempat tinggal mereka akibat bencana itu,” ujar kenyataan  Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rehman pada Khamis lalu yang menurut beliau, ia adalah malapetaka banjir yang ‘belum pernah terjadi sebelumnya (di Pakistan) dan  merupakan bencana kemanusiaan terburuk di dunia dalam dekad ini.

Dalam bencana banjir terbaharu sepanjang Ogos 2022, enam pegawai tentera turut terbunuh dalam nahas helikopter semasa operasi bantuan banjir yang diklasifikasikan sebagai ‘banjir paling teruk di dunia’ sejak banjir  di Asia Selatan pada 2017, yang mana pada  25 Ogos lalu, Pakistan telah mengisytiharkan darurat angkara, lapor CNN pula. 

Sekurang-kurangnya 348 kanak-kanak sudah terkorban dalam malapetaka banjir di Pakistan ketika ini.

Menurut Rehman, Pakistan sedang melalui kitaran monsun kelapan, sedangkan negara itu pada kebiasaannya hanya mempunyai tiga hingga empat kitaran hujan.

“Peratusan banjir besar sangat mengejutkan, khususnya impaknya  ke atas selatan negara itu, Usaha bantuan secara maksimum sedang dijalankan,” ujarnya.

Penduduk dilaporkan  berpindah mengharungi kawasan banjir di Peshawar, Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan pada Sabtu.

“Pasukan tentera diberi kuasa untuk membantu operasi bantuan dan menyelamat di kawasan yang dilanda banjir,” ujar kenyataan Kementerian Dalam Negeri Pakistan dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, 150 kilometer (kira-kira 93 batu) jalan raya telah rosak di seluruh Pakistan. (FOTO Guardian.ng)

Kementerian itu berkata tentera akan membantu empat kerajaan wilayah Pakistan, termasuk wilayah barat daya Balochistan yang paling teruk terjejas.

“Jumlah sebenar tentera serta di mana dan bila mereka akan ditempatkan akan dikira antara wilayah dan kerajaan,” ujat kenyataan kementerian itu lagi.

Sementara itu kenyataan Angkatan Tentera Pakistan memberitahu bahawa pusat pemindahan banjir sedang diwujudkan di pelbagai bahagian negara untuk membantu pengumpulan, pengangkutan dan pengagihan barangan bantuan banjir kepada mangsa.

Banjir yang melanda Pakistan kali ini adalah bencana kemanusiaan terburuk di dunia dalam dekad ini. (FOTO Newsweek)

“Pihak tentera juga membantu orang ramai berpindah ke tempat yang lebih selamat, menyediakan tempat tinggal, makanan dan menyediakan rawatan perubatan kepada mereka yang terjejas akibat banjir,” ujar kenyataan itu.

“Wilayah selatan Sindh, yang terjejas teruk akibat banjir, telah meminta sebanyak  juta khemah, manakala wilayah Balochistan berdekatan – sebahagian besarnya terputus bekalan elektrik, gas dan internet  telah meminta 100,000 khemah,” kata Rehman.

“Keutamaan Pakistan, pada masa ini, adalah bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh iklim dengan kadar epik,” tambahnya yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk memberikan bantuan memandangkan sumber bantuan terhad Pakistan.

Pasukan tentera Pakistan bertungkus lumus menyelamatkan orang ramai yang ditenggelami air banjir. (FOTO Dunya News)

Pada hari Jumaat, Perdana Menteri Pakistan Sharif memberi taklimat kepada diplomat antarabangsa mengenai krisis itu, menyatakan bahawa negaranya  berada di barisan hadapan perubahan iklim walaupun jejak karbon yang agak kecil; dan sehubungan itu mesti memfokuskan pemulihannya ke arah daya tahan perubahan iklim yang lebih besar.

Menteri Perancangan dan Pembangunan, Ahsan Iqbal dalam kenyataan secara berasingan memberitahu Reuters bahawa lebih 30 juta penduduk  telah terjejas, satu angka yang akan mewakili kira-kira 15 peratus daripada penduduk negara Asia Selatan itu.

Pejabat Agensi PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata dalam kemas kini pada hari Khamis bahawa hujan monsun telah menjejaskan kira-kira 3 juta orang di Pakistan, yang  mana 184,000 telah dipindahkan ke kem bantuan di seluruh negara

Sejumlah 33 juta penduduk Pakistan yang kehilangan kediaman mereka yang musnah angkara malapetaka banjir kini memerlukan bantuan masyarkat antarabangsa bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Usaha pengunduran dan pembinaan semula akan menjadi cabaran bagi Pakistan yang kekurangan wang, yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk memastikan Tabung Kewangan Antarabangsa meluluskan pengeluaran wang bailout yang amat diperlukan.

NDMA berkata dalam laporannya bahawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, 150 kilometer (kira-kira 93 batu) jalan raya telah rosak di seluruh Pakistan dan lebih 82,000 rumah rosak sebahagian atau sepenuhnya.

Sementara sejak pertengahan Jun lalu, apabila monsun bermula, lebih 3,000 kilometer (1,864 batu) jalan raya, 130 jambatan dan 495,000 rumah telah rosak, menurut laporan situasi terakhir NDMA, angka yang juga disebut dalam laporan OHCA. – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -