Isu di KLFW: Jangan cuba permainkan Islam – Idris Ahmad

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan agar semua pihak di negara ini jangan cuba mempermainkan atau membuat sebarang unsur provokasi terhadap agama Islam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu seorang lelaki Cina yang tampil mengenakan fesyen pakaian unik sehingga menampakkan bahagian lututnya, tetapi dalam masa penampilannya dilengkapi dengan songkok menghiasinya bahagian kepalanya sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 yang berlangsung, di sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Penampilan lelaki itu yang turut mengenakan kostum menyerupai kain sampin sambil bersongkon sambil mendedahkan bahagian lututnya ketika muncul di pentas peragaan KLFM 2022 itu telah meraih kritikan negatif orang ramai khususnya di media sosial kerana ia dikatakan seolah-olah mempersendakan agama Islam.

“Kita tidak pernah mengganggu agama lain dan kita tidak pernah menghina agama lain kerana ia merupakan ajaran agama Islam yang dididik oleh agama Islam itu sendiri. Kita harap orang (agama) lain menghormati agama Islam. 

“Kamu bebas untuk menganuti agama kamu tetapi jangan ada unsur-unsur bersifat provokasi,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersempena Majlis Haflu Al-Takharujj kali ke-3 1444H/2022 di Tamu Hotel & Suites, Kampung Bharu, di sini, pada Rabu.  

Datuk Idris Ahmad

Menurut beliau, apa yang dimahukan adalah agar sentiasa wujud masyarakat yang harmoni dan sejahtera yang telah dibina sekian lama di negara ini, sejak zaman kemerdekaan lagi yang perlu dikekalkan.

Konsert kembali berleluasa

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tentang kemunculan semula konsert-konsert hiburan secara berleluasa di Malaysia khususnya yang menampilkan artis dari luar negara, sebagai tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

“Allah SWT baru sahaja mengeluarkan pandemik Covid-19 dari negara kita dan jangan sampai sebab itu (kembali berleluasa konsert-konsert) Allah SWT murka,” tegasnya.

Mengulas lanjut, katanya, sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 35 yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah itu amat keras seksaan-Nya.”  

“Saya bukan anti hiburan dan saya bukan anti sosial tapi sebagai pemimpin, adakah kita ingin bawa rakyat ke arah sebegini?” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

- Advertisement -