Kedah catat pelaburan RM20 bilion suku kedua 2022

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Kedah mencatatkan nilai pelaburan hampir mencecah RM20 bilion pada suku kedua tahun ini dan menjadi antara yang tertinggi di Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika dunia sedang bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, Malaysia tetap menjadi lokasi tarikan pelabur.

Katanya, destinasi pelaburan mereka antaranya Kedah, di mana sehingga suku kedua tahun ini Kedah hampir menerima (pelaburan) RM20 bilion.

“Jumlah pelaburan itu mengatasi sasaran tahunan sebanyak RM10 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Loji Melamina di Zon Industri Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd di sini, hari ini.

- Advertisement -

Turut hadir Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Berhad, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Menurutnya juga aliran pelaburan asing dan domestik ke negeri itu secara tidak langsung membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Kedah dan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Kata beliau pada tahun lalu Kedah menduduki tempat kedua dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM68.3 bilion, merupakan nilai luar biasa dan terbesar dalam sejarah negeri itu.

“Pelaksanaan projek loji melamina di Kedah amat strategik, bermanfaat dan mampan. Ia membuktikan kepercayaan dan pengiktirafan pelbagai pihak terhadap keupayaan kerajaan negeri.

“Selain itu penduduk tempatan juga berperanan menyumbang kepada kejayaan pelaburan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi Kedah dan Malaysia secara keseluruhannya,” tambah beliau.

Menurutnya juga projek loji melamina bakal mengukuhkan lagi kawasan perindustrian Gurun sebagai sebuah zon pengeluar bahan kimia bertaraf antarabangsa di rantau Asia Tenggara.

Loji berkenaan dijangka memulakan operasi pada 2024 dengan kapasiti sebanyak 60,000 tan setahun dan menjadikan Petronas Chemical Group Berhad (PCG) sebagai pengedar tunggal melamina di Asia Tenggara.

Sehubungan itu kata Sanusi Kedah terus kekal menjadi lokasi menarik kepada pelabur tempatan dan asing. – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -