Perjuangkan kebenaran bukti cinta kepada Allah dan Rasul S.A.W

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قُلْ اِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللّٰهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللّٰهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ ۗ وَاللّٰهُ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ.

“Katakanlah (wahai Muhammad), Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku (Nabi Muhammad S.A.W), nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan (ketahuilah) Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”.

(Aali Imran: 31)

Mencintai Allah adalah suatu yang fardu ke atas setiap Mukmin. Jalan untuk mendapatkan cinta Allah adalah dengan mengikuti ajaran Rasulullah (Utusan Allah) S.A.W. Ini menunjukkan cinta kepada Rasulullah S.A.W juga adalah wajib.

Cinta kepada Rasulullah S.A.W tidak cukup dengan hanya diungkapkan dengan kata-kata. Bahkan ia semestinya disertai dengan amal dan tindakan. Iman bukan hanya dengan perkataan, namun ianya adalah perlakuan yang dibina berdasarkan kepada keyakinan (iktikad).

Sabda Rasulullah S.A.W di dalam riwayat yang sahih daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amr bin Al-‘As RA. mafhumnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah hawa nafsunya menjadi pengikut kepada ajaran yang aku bawa (Syariat Islam)”.

Hadis ini secara jelas menunjukkan kepada kita hubung kait antara iman dan amal. Kesempurnaan amal menunjukkan kesempurnaan iman.

Mukmin yang mencintai Allah dan menagih cinta Allah, perlulah mencintai dan menagih cinta Rasulullah S.A.W dengan mengikuti dan mengamalkan Sunnah Baginda S.A.W. Antara sunnah Baginda S.A.W adalah melakukan yang maaruf meninggalkan yang mungkar, mencari yang halal meninggalkan yang haram, memilih kebenaran dan meninggalkan kebatilan (kesesatan). 

Jalan untuk memilih kebenaran dan meninggalkan kebatilan adalah dengan menggunakan akal yang waras yang dipandu oleh ilmu. Untuk mendapatkan ilmu yang sebenar pula kita perlulah mendampingi para Ulamak pewaris Nabi yang terbukti soleh dan musleh

Mengenali ulamak yang sebegitu bukanlah mudah kerana jalan yang dibawa oleh Rasul S.A.W walaupun ianya bercahaya namun dikelilingi ujian, cabaran dan fitnah yang tidak bertepi. Berdoalah kepada Allah dengan ikhlas, tawadhuk (rendah diri) dan penuh pengharapan semoga hidayah Allah akan terpancar di sanubari dan jiwa yang suci.

“Islam Rahmat Untuk Semua”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -