PRU15: Calon Melayu-Islam perlu menang majoriti dua pertiga

PAS, Umno dan BERSATU mesti bermuafakat bagi mencapai matlamat tersebut

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: PRU15 perlu dimenangi dengan majoriti dua pertiga oleh Ahli Parlimen Melayu-Islam, sekali gus memerlukan permuafakatan bersungguh-sungguh daripada PAS, Umno dan BERSATU bagi mencapai matlamat tersebut.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah berkata, biarpun pahit agenda penyatuan ummah antara parti politik dan kumpulan-kumpulan Melayu-Islam tetap perlu diteruskan.

Memetik kajian satu badan penyelidikan, QGen Analysis, beliau memberitahu, 95 peratus pengundi baru dalam kalangan anak muda mahu mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dan rakyat negara ini.

“Maknanya mereka teruja nak mengundi kali pertama untuk memilih siapa jadi kerajaan dan pemimpin mereka. Di atas kesediaan mereka itu, kita perlu masuk mengisi kekosongan. Perkenalkan PAS, beri penerangan.

“Jelaskan parti mana yang tegas mengikut syariat Islam dan berintegriti. Mereka perlu tahu,” ujarnya merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS di Pusat Tarbiyah PAS Perak, Air Kuning, di sini semalam.

Menurut beliau, dengan pertambahan pengundi baru di Perak yang semakin meningkat dalam kalangan anak muda setiap bulan, Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS perlu bersedia dengan segala strategi memenangi hati golongan itu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, pelancaran ini bagi menunjukkan kesediaan Pemuda PAS menghadapi PRU15 akan datang.

“Kita mahu himpunan ini memberikan tenaga dan semangat memenangkan PAS dalam PRU15 yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.

“Pulang ke kawasan masing-masing nanti, susun jentera, gerakkan strategi menangi hati pengundi muda, kukuhkan kesatuan dan jaga hubungan kita dengan Allah,” katanya lagi yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan.

Pada perhimpunan tersebut, turut dilancarkan gimik penyerahan bendera kepada setiap 24 Pemuda PAS Kawasan dan entiti-entiti di bawah Dewan Pemuda PAS sebagai simbolik kesiapsiagaan pemuda PAS menghadapi PRU15.

Turut hadir menyampaikan ucapan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Mohd Fakhrudin Abd Aziz serta Ketua Pemuda PAS Perak, Hafez Sabri. – HARAKAHDAILY 22/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -