Rekabentuk asal LCS diubah kurang tempoh dua bulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika isu kapal tempur pesisir (LCS) semakin berliku untuk diselesaikan muncul pula dakwaan kewajaran pemberian kontrak kepada Naval Group (NG).

- Advertisement -

Ini kerana syarikat itu terbentuk melalui kerjasama DCNS dan Navantia (Spain). DCNS (sebuah syarikat Perancis) yang pernah dikaitkan dengan
projek kapal selam Scorpene sebelum ini.

DCNS merupakan pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, sebaliknya Kerajaan Malaysia melantik syarikat lain.

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika mengulas perkembangan itu berkata, DCNS pernah dibawa ke mahkamah atas isu perolehan dua kapal selam Scorpene yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini.

Katanya, timbul persoalan proses pemberian kontrak sedangkan kontrak asal diberikan kepada syarikat SIGMA dari Belanda kepada Gowind dari Perancis seperti yang diminta TLDM.

Bagaimanapun kata beliau rekabentuk asal diubah kurang dari tempoh dua bulan.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman

“Hal ini turut dilihat sebagai perkara yang memelikkan kerana sehingga kini detailed design masih belum siap dan menyebabkan kelewatan penghantaran tergendala dalam masa yang lama.

“Saya ingin memberi respon terhadap kenyataan mantan Laksamana TLDM berkenaan isu pelancaran kapal LCS di Lumut pada tahun 2017.

“Saya menyatakan persetujuan berkenaan tradisi pelancaran kapal yang dipanggil sebelum siap sepenuhnya tersebut, tetapi harus mengambilkira gambaran model kapal LCS tersebut di mana hanya rangka luar sebenar kapal dan hull sahaja yang siap, tetapi tidak bagi keseluruhan bahagian atas deck,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Oleh itu beliau berharap siasatan menyeluruh dijalankan termasuk ketelusan proses pemberian kontrak, dan proses penukaran rekabentuk asal yang menjadi tanda tanya rakyat Malaysia.

Menurutnya negara kini rugi hampir RM 6 billion sekiranya projek ini masih gagal menghantar kapal perang LCS kepada TLDM.

Juga katanya pemberian kontrak sebanyak RM9 bilion di mana sebanyak RM6.08 bilion yang telah diberikan sepatutnya digunakan bagi tujuan pembinaan enam kapal yang dijanjikan.

“Bukan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang lapuk syarikat BNS. Perkara ini menggusarkan kerana akan menyebabkan bajet yang diperuntukan tidak mencukupi.

“Dan akan menyebabkan banyak teknologi peralatan berkemungkinan terpaksa downgraded (dituruntaraf) daripada teknologi asal yang dipinta oleh TLDM,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2022

Kenyataan lanjutnya seperti di bawah.

Selaku Ahli Jawatankuasa PAC yang terlibat dengan siri-siri prosiding berhubung isu kegagalan perolehan Kapal Pesisir Pantai (LCS) yang sepatutnya siap pada tahun 2019 yang lepas, saya terpanggil untuk turut memberikan respon terhadap isu nasional ini kerana ia melibatkan kepentingan negara dan keselamatan rakyat.

Melihat munculnya banyak elemen yang meragukan, maka saya telah mencadangkan kepada ahli- Ahli PAC agar suatu lawatan ke BNS di Lumut dibuat dalam kadar segera pada ketika itu.

Justeru, lawatan dan prosiding PAC pada 11 Disember 2021 di Lumut, Perak telah memberi gambaran jelas tentang perkembangan projek tersebut.

Saya menyokong penuh keputusan Perdana Menteri bagi menyahklasifikan dokumen laporan audit Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan or JKSTUPKK yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang demi memastikan proses penyiasatan dijalankan dengan penuh teliti dan adil.

Hari ini dokumen tersebut telah ‘TERBUKA’ untuk awam. Saya melihat kenyataan tidak tepat yang telah dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada beberapa hari lepas dan perlu diperjelaskan untuk memberi penerangan yang jelas bagi kefahaman rakyat.

Berdasarkan siasatan PAC seperti yang terkandung di dalam Laporan PAC, pembinaan fizikal kapal telah terhenti sejak tahun 2019.

Kesemua pekerja dan jurutera Naval Group (NG) bagi LCS Gowind-class design dari Perancis yang turut terlibat dalam pembinaan kapal-kapal tersebut telah pulang ke negara mereka sekitar 2019-2020 setelah tiada pembayaran gaji dibuat oleh pihak Boustead Naval Shipyard (BNS) kepada Original equipment manufacturer (OEM).

Maka, muncul kemusykilan bagi kerja-kerja yang sedang dilakukan memandangkan projek ini harus dijalankan bersama pihak NG yang juga pemegang blueprint rekabentuk kapal tersebut.

Saya meneliti perkara ini kerana rekabentuk kapal LCS ini sedikit berbeza dengan rekabentuk kapal-kapal LCS yang telah disiapkan bagi kegunaan pihak tentera Mesir.

Berlaku penambahan panjang hull sebanyak 10 meter dan penambahan saiz berat sekitar 600 tan menjadikannya berjumlah 3100 tan berbanding rekabentuk asal iaitu 2500 tan yang telah disiapkan oleh pihak NG bagi Tentera Laut Mesir.

Maka, pengubahsuaian ini akan menjurus kepada proses pembangunan detailed design yang baru melibatkan saiz komponen kapal seperti ketebalan struktur hull, posisi komponen di atas deck bagi keseimbangan pelayaran dan berlabuh akan berbeza dari yang asal.

Begitu juga dengan persoalan kos perbelanjaan pembinaan kapal LCS pertama oleh kerjaan Mesir di Perancis (ENS El Fateh*) yang dikira lebih tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia.

Hal ini berlaku kerana proses pembinaan ini melibatkan kos pekerja buruh (labour cost) yang lebih tinggi di negara Eropah sekiranya proses pembinaan dibuat di sana.

Maka, ia merupakan situasi yang berbeza kerana kesemua enam kapal perang LCS yang ditempah oleh MinDef perlu dibina di Malaysia.

Bahkan, walaupun kontrak kepada DCNS diberikan oleh kerajaan Mesir pada tahun 2014, dan upacara “keel laying” telah dibuat di Lorient Shipyard, France pada tahun 2015, mereka telah mendapat perolehan kapal perang LCS pertama pada tahun 2017.

Projek kerajaan Mesir telah berjaya jika dibandingkan dengan pemberian kontrak pembinaan kapal perang LCS oleh kerajaan Malaysia yang dimuktamadkan dari tahun 2011 lagi.

Juga berkenaan bulk order peralatan peperangan termasuk bahan-bahan dan peralatan elektronik.

Kita sedia maklum beberapa bahan berunsurkan getah, bateri dan sebagainya mempunyai tarikh luput dan akan digantikan setelah tamat tempoh penggunaan.

Saya ingin memberi gambaran ketika lawatan PAC ke tapak pembinaan pada November 2021 tentang rangka yang belum siap, bahkan tiada sebarang sambungan pendawaiaan elektrik, menyebabkan komponen-komponen elektronik perlu dicas.

Maka, pembelian bulk order peralatan ini akan menyebabkan kerugian dari sudut kelupusan bahan, upgrading proses, sedangkan “rumah” iaitu struktur kapal ini hanya setakat 44.1% siap dibina bagi LCS 1, KD MaharajaLela.

Cara pengiraan peratusan penyiapan ini juga tidak dijelaskan secara terperinci. Perkara ini sangat mengejutkan ketika mana ia harus dihantar bagi pengoperasian TLDM pada tahun 2019 lagi bagi menjaga kepentingan kawasan pengairan maritim negara.

Ahli Parlimen Sik
17 Ogos 2022

- Advertisement -