KPDNHEP Kelantan sita 2.72 tan minyak masak bersubsidi

Foto daripada Facebook KPDNHEP Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita lebih 2.72 tan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) dalam Operasi Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor serta Tok Bali, dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Aswadi Jaafar berkata dua suspek yang terdiri daripada pemandu dan kelindan lori yang membawa minyak masak itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

- Advertisement -

Beliau berkata selain minyak masak bernilai kira-kira RM6,800 pihaknya turut merampas lori yang membawa barang itu, bernilai sekitar RM15,000.

Katanya dalam operasi semalam, pihaknya mengesan sebuah lori Isuzu yang dilihat mencurigakan dari arah Pauh Lima menuju ke Peringat pada pukul 3 petang semalam, dan selepas diperiksa pemandu serta kelindan lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang butiran atau catatan transaksi berkaitan minyak masak yang ditemukan.

“Kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sebagai pemilikan barang kawalan itu seperti yang diarahkan oleh pasukan dibawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aswadi berkata kedua-dua suspek berusia 40-an dan 50-an disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan. – BERNAMA

- Advertisement -