SOSMA lebih baik berbanding ISA

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 jika dinilai dari aspek penggubalan.

Menurutnya, tempoh tahanan di bawah ISA menjangkau sehingga 60 hari, berbanding SOSMA yang hanya membenarkan penahanan seseorang kepada 28 hari.

- Advertisement -

“Tempoh masa 28 hari tidak begitu lama, tidak juga begitu singkat, untuk siasatan dilakukan pihak berkuasa. Jika sebelum ini, ISA membenarkan penahanan tanpa bicara, SOSMA sebaliknya memerlukan kepada pendakwaan di mahkamah terbuka.

“Maka, tempoh tahanan 28 hari itu diperlukan untuk menjalankan siasatan, menyiapkan kertas siasatan dan melengkapkan pertuduhan untuk dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika membahaskan usul perlanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Ahmad, sebelum ini ISA tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan rujukan kepada peguam, manakala SOSMA sebaliknya menyediakan klausa yang membenarkan kedua-dua perkara itu, sekali gus membawa maksud SOSMA lebih baik berbanding ISA.

Selain itu, katanya jika peruntukan subseksyen 4(5) dihapuskan, ia menyukarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dengan baik.

Perkara penting seperti bahan bukti dan saksi kejadian akan menjadi berisiko tanpa langkah siasatan yang berhati-hati.

“Kita sewajarnya faham SOSMA dan peruntukan yang terkandung dalamnya menghidupkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan jenayah subversif dan menganggu ketenteraman awam.

“Justeru, tindakan agresif bagi menangani jenayah subversif amat diperlukan dan akan menghentikan kebebasan asasi di bawah Perkara 5, 9, 10 dan 13,” katanya.

Bagaimanapun, beliau juga berpandangan kerajaan perlu memperhalusi pertikaian yang dibangkitkan berkenaan SOSMA yang sering kali disalah guna untuk kepentingan politik tertentu.

Beliau memohon penjelasan jika berlaku penahanan ke atas individu yang tidak termasuk dalam kategori yang terangkum dalam Jadual Pertama SOSMA.

“Bagaimana daripada peringkat awal penahanan seseorang individu tersebut boleh berlaku? Perkara ini memerlukan sikap tanggungjawab oleh mereka yang diberikan amanah.

“Kami di peringkat PAS Kedah pernah merasai bagaimana ISA sebelum ini digunakan dalam Tragedi Memali 1985.

“Namun, kita masih percaya ISA ini masih ada kebaikannya untuk menjaga ketenteraman awam, walaupun pada masa itu telah disalahgunakan oleh pihak berkuasa. Kita mahukan jaminan daripada kerajaan supaya ia tidak disalah gunakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/22

- Advertisement -