Tingkatkan penerangan budaya cegah kemalangan tempat kerja

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diminta memperbanyakkan penerangan berhubung budaya pencegahan kemalangan pekerjaan di tempat kerja kepada pencarum.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, berkata penerangan itu perlu supaya pencarum dapat memahami kaedah dan bentuk bantuan yang boleh dimanfaatkan ketika berdepan situasi tertentu.

- Advertisement -

“Sehingga kini, berapa banyak kempen dilaksanakan di media cetak dan media sosial bagi meningkatkan kesedaran budaya pencegahan kemalangan pekerjaan di tempat kerja?

“Adakah majikan di setiap syarikat mengadakan taklimat atau bengkel berkenaan kemalangan pekerjaan di tempat kerja setiap tahun?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan juga meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjelaskan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap majikan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Pekerja 1971.

Beliau meminta kerajaan mendedahkan jumlah caruman dan kekurangan caruman oleh majikan terhadap pekerja di seluruh negara.

“Berapa banyakkan faedah caruman lewat bayar telah diterima? Berapakah aduan telah diterima dan disiasat oleh PERKESO berhubung masalah caruman?

“Adakah bilangan penguatkuasa PERKESO bagi melakukan pemeriksaan di seluruh negara sudah mencukupi pada masa ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -