Ahli Parlimen Sik prihatin nasib guru KAFA

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Nasib lebih 35,000 guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negara yang turut mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapat perhatian Ahli Parlimen Sik ketika membahaskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Ahmad Tarmizi Sulaiman ingin tahu mengenai status caruman dalam kalangan guru KAFA yang berstatuskan kontrak dan bilangan mereka agak ramai.

- Advertisement -

“Berapakah jumlah atau nilai tuntutan yang dibuat oleh guru ini (KAFA) yang terlibat dalam kemalangan dan jumlah yang diluluskan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga ingin tahu sama ada mangsa kemalangan akibat bencana alam seperti banjir yang melanda Baling, Kedah, baru-baru ini atau di tempat lain turut dilindungi oleh PERKESO.

Ahmad Tarmizi berkata, melihat kepada masalah ekonomi tempatan dan global sekarang, ramai dalam kalangan pekerja, terutama anak muda yang walaupun mempunyai pekerjaan tetap, turut melakukan kerja sampingan dan adakah mereka turut dilindungi oleh PERKESO.

Selain itu, beliau ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memasukkan pekerja berstatus pelarian yang ramai di negara ini, iaitu berdasarkan rekod UNHCR lebih 180,000 orang.

“Adakah mereka juga wajib mencarum seperti kenyataan Ketua Eksekutif PERKESO bahawa warga asing juga wajib mencarum,” katanya.

Beliau juga mengemukakan persoalan mengenai pekerja yang mempunyai insurans perlindungan peribadi sendiri, iaitu adakah pekerja berkenaan yang terbabit dalam kemalangan boleh menuntut dari syarikat insurans dan PERKESO.

Katanya, ini kerana kedua-dua pihak memerlukan dokumen berkaitan yang asal atau original dan adakah dokumen salinan boleh digunakan. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -