TCA rancang perluaskan aktiviti babitkan tentera darat

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan rondaan di perairan negara.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Perjanjian Kerjasama Tiga Negara (TCA) – Malaysia, Filipina dan Indonesia yang kini terhad kepada rondaan di laut dan udara, merancang memperluaskan operasi membabitkan aktiviti tentera darat.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, berkata TCA ditubuhkan untuk mewujudkan situasi keselamatan yang lebih baik, terutama di Laut Sulu dan Sulawesi.

- Advertisement -

Di bawah kerangka TCA, katanya ketiga-tiga negara bersetuju mewujudkan Pusat Kawalan Maritim (MCC) di Tawau, Sabah; Tawi-Tawi, Filipina; dan Tarakan, Indonesia.

Menurutnya, MCC menjadi saluran komunikasi, meningkatkan koordinasi operasi dan kerjasama perisikan bagi menyokong aktiviti rondaan laut dan udara melalui inisiatif Rondaan Maritim Tiga Negara (TMP) dan Rondaan Udara Tiga Negara (TAP).

Katanya, ketiga-tiga negara bersetuju melaksanakan operasi `hot pursuit’ iaitu mengejar, merentasi sempadan perairan melibatkan angkatan tentera dan agensi keselamatan masing-masing.

“Hasil pertemuan peringkat menteri antara saya dan rakan sejawatan dari Indonesia dan Filipina, Mac lalu, bersepakat untuk melaksanakan satu lagi pendekatan, iaitu meneroka potensi kerjasama antara tentera darat ketiga-tiga negara.

“Ini berikutan ketika ini TCA lebih berfokus kepada laut dan udara sahaja,” katanya menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas sama ada kerjasama ketenteraan akan diperluaskan kepada negara ASEAN lain, katanya mesyuarat peringkat menteri baru-baru ini, bersetuju untuk menjemput Brunei Darussalam.

Selain TCA, katanya satu lagi pendekatan penting untuk memelihara keselamatan di rantau ini melibatkan kerjasama ketenteraan dengan negara ASEAN lain, iaitu Rondaan Maritim Selat Melaka (MSP) di Selat Melaka.

Katanya, MSP bertujuan untuk membendung cabaran keselamatan dan ancaman lanun melibatkan kerjasama tentera laut dan udara dari empat negara ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -