Kelantan tubuh Jawatankuasa Sekuriti Makanan

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Peringkat Negeri dengan peruntukan RM10 juta bagi memastikan pelaksanaan Pelan Sekuriti Makanan Negara 2021 – 2025 berjaya.

Hal tersebut selari dengan Dasar Pertanian Negeri Kelantan, Bertani Satu Ibadah yang mengfokuskan peningkatan keluasan tanah bagi aktiviti pertanian, mengekalkan zon jelapang padi dan pewartaan zon industri akuakultur.

Demikian menurut Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob di Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2022 di Pantai Irama, hari ini.

Menurutnya lagi, semua agensi terutamanya Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Veteriner dan Jabatan Perikanan perlu mengambil tindakan proaktif untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan dalam negeri.

Beliau juga turut berterima kasih kepada penternak Negeri Kelantan kerana berjaya menjadi pengeluar unggul lembu hibrid berkualiti di Malaysia, yang mana 12,400 ekor induk diternak di Kelantan dan 80 peratus daripadanya adalah di sekitar jajahan Bachok. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan RM1.5 juta juga diberikan kepada petani, penternak dan nelayan bagi membantu pembelian peralatan. 

“Selain Himpunan Mega 200 ekor lembu hibrid yang bernilai lebih RM20,000 seekor di HPPNK 2022, turut disediakan 70 acara menarik dan cabutan bertuah seekor kambing setiap hari kepada pengunjung,” katanya. 

Beliau juga berharap program HPPNK 2022 ini menjadi motivasi dan kesedaran kepada masyarakat merangkumi idea baharu dan cetusan inovasi untuk memajukan industri pertanian di Kelantan. 

Dalam majlis yang sama, pelancaran Buku Tunas Tani Alfalah – Panduan Tanaman Sawi, dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan HPPNK 2022 kepada 17 usahawan tani turut diadakan. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -