Kerajaan berusaha tangani isu penipuan visa furada

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha untuk memberi kesedaran kepada bakal jemaah haji untuk berurusan hanya melalui Tabung Haji (TH), syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan TH Travel Travel & Services Sdn Bhd bagi menangani kes penipuan visa furada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Tabung Haji sentiasa mengambil tindakan tuntas jika terdapat sebarang perkara berkaitan tawaran haji dikemukakan.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau berharap supaya orang ramai memilih syarikat yang dilesenkan Tabung Haji bagi mengelakkan isu penipuan visa furada berulang pada masa akan datang.

“Sebelum isu ini timbul, malah sebelum kerajaan Arab Saudi membuka kuota haji, terdapat iklan disebarkan berkenaan dengan iklan visa haji furada.

“Ketika itu, Tabung Haji telah pun menghantar surat memohon tunjuk sebab kepada syarikat pelancongan berkenaan mengenai iklan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang memohon penjelasan mengenai usaha kerajaan dalam menangani isu penipuan visa furada di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Idris, Tabung Haji telah memberi lesen pakej haji kepada 22 syarikat PJH pada musim haji tahun ini.

Katanya, rata-rata syarikat berkenaan berpengalaman dalam menguruskan jemaah haji dan juga jemaah umrah.

Selain itu, Idris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tawaran visa haji furada yang dibuat syarikat tertentu untuk tampil menghubungi pihaknya untuk diambil tindakan.

Beliau juga berharap mangsa penipuan tampil membuat laporan polis terhadap syarikat berkenaan. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -