Fungsi Unit Kesihatan Awam TH-KKM di Tanah Suci

- Advertisement -

PUBLIC Health is at its best when it is not visible to the public, which means to say that the policies and interventions in place are working well.

Bagi operasi Pasukan Kesihatan TH-KKM di Tanah Suci, KKM telah menghantar Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKA), Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dibantu oleh Penolong Pegawai Perubatan serta Jururawat Kesihatan untuk mengoperasikan Unit Kesihatan Awam (Public Health Unit).

Unit Kesihatan Awam (UKA) di Tanah Suci terbahagi kepada dua sektor iaitu Sektor Makkah dan Sektor Madinah dan tugasan unit kesihatan awam merangkumi keseluruhan masa bermula dengan perancangan aktiviti sebelum Jemaah Haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci, disusuli dengan jemaah menjejakkan kaki ke tanah suci dan berterusan sehingga jemaah pulang semula ke tanah air. 

Perancangan pengoperasian fasiliti kesihatan seperti Hospital serta Syishah, perkhidmatan ambulans dan juga operasi di Masyair juga dirancang oleh PPKA dan pasukan yang bertauliah agar semuanya berjalan dengan baik mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi serta dioperasikan dengan pengalaman bertahun-tahun pasukan kesihatan TH-KKM menjalankan operasi pasukan kesihatan semasa Musim Haji.

Aktiviti UKA di Makkah dan Madinah termasuklah:

1. Survelan penyakit–penyakit di Tanah Suci; menganalisa data penyakit setiap hari serta menyediakan laporan harian untuk intervensi;

2. Mengenal pasti jemaah yang berisiko tinggi dari pencarian bilik ke bilik untuk penilaian oleh pakar klinikal bagi persediaan operasi Masyair;

3. Melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan kepada jemaah secara ceramah umum mengikut maktab dan secara kumpulan kecil dari bilik ke bilik;

4. Menyediakan bahan pendidikan kesihatan seperti media sosial, pamplet dan poster serta memasang poster di tempat-tempat tumpuan awam. Antara info kesihatan yang diberi penekanan pada musim haji tahun ini adalah pencegahan COVID-19, pencegahan Heat Stroke dan Heat Exhaustion, keracunan makanan, penjagaan kaki dan lain-lain;

5. Aktiviti pencarian kes secara aktif (ACD) dijalankan sebagai langkah pencegahan sekiranya berlaku perebakan penyakit supaya tidak berlaku kluster penyakit berjangkit. Aktiviti ini juga untuk mengesan kes-kes yang bergejala tetapi tidak mahu mendapatkan rawatan di klinik;

6. Pemeriksaan rutin dapur-dapur maktab, dapur petugas serta dapur semasa Masyair dilakukan sebelum dan selepas Wukuf untuk memastikan keselamatan makanan yang disediakan kepada jemaah dan petugas haji;

7. Mengetuai bilik gerakan semasa operasi di Arafah dan operasi Mina. Merangkumi aktiviti Klinik Kecemasan, Pasukan Peronda, Logistik, Pengurusan dan Analisa Data, Pemeriksaan Dapur, Pendidikan Kesihatan, Pemantauan ORS, siasatan penyakit berjangkit (contohnya cirit birit), pengurusan ambulan dan rujukan pesakit ke hospital KSA/TH.

8. Melakukan kajian kepatuhan buku rekod rawatan Jemaah haji;

9. Analisa data-data sebelum Wuquf, semasa Masyair dan selepas Wuquf serta membuat laporan yang merangkumi isu-isu dikenalpasti dan cadangan penambahbaikan untuk musim Haji akan datang.

10. Merancang dan melaksanakan penyebaran maklumat kad amaran kesihatan (Health Alert Card) kepada semua jemaah sebelum meninggalkan tanah suci.

Kebiasaannya petugas UKA bertugas di belakang tabir dan tidak begitu dikenali oleh Jemaah Haji, namun tugasan berterusan mereka amatlah penting bagi memastikan kejayaan operasi kesihatan TH-KKM. Terima kasih diucapkan kepada UKA atas segala pengorbanan anda semua. Semoga diberkati Allah S.W.T, Insya-Allah.

TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -