UUM wakili Malaysia ke Kejohanan Golf Universiti Dunia di Itali

- Advertisement -

YBHG. DATO’ SERI Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT telah meluangkan masa mengadakan pertemuan dan menyampaikan amanat kepada Kontinjen Golf Universiti Malaysia yang akan menyertai kejohanan 2022 FISU World University Championship Golf di sini hari ini.

Lima atlet golf dari Akademi Golf Nasional (AGN) Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mewakili negara pada edisi ke-18 kejohanan golf universiti dunia berprestij yang berlangsung mulai 20 hingga 23 Julai ini.

Mereka terdiri daripada empat pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Golf) iaitu Muhammad Farez Mohd Azihan, Charlayne Chong Shin Ling, Nur Maisara Saad dan Valerie Vanessa Langkab serta seorang pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Muhammad Ikhmal Basry.

Dalam sesi amanat yang juga disertai Dr Pekan Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT itu, DS KSU telah menekankan bahawa peserta telah diamanahkan untuk membawa nama Malaysia setanding negara lain yang dilihat mendominasi permainan golf. 

DS KSU turut menyatakan bahawa keterlibatan atlit kita perlu ditafsirkan melalui prestasi permainan yang baik dan semangat kesukanan yang tinggi. Justeru, para peserta disarankan agar membina jaringan kenalan dengan pemain antarabangsa lain bagi tujuan pembangunan sukan golf pada masa akan datang.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -