UNESCO iktiraf 6 Warisan Tidak Ketara Malaysia

Silat adalah antara 6 Warisan Tidak Ketara Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Enam elemen Warisan Tidak Ketara (WTK) negara ini mendapat pengiktirafan UNESCO berdasarkan prinsip 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage of Humanity.

WTK berkenaan ialah Mak Yong, Dondang Sayang, Silat dan Songket, manakala Upacara Wangkang diangkat bersama negara China dan Pantun yang diangkat bersama Indonesia.

- Advertisement -

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri, berkata sehingga kini, sebanyak 529 WTK diwartakan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)

Katanya, ini berjaya dilakukan hasil kesedaran masyarakat yang membantu dalam penyelidikan dan inventori bagi tujuan perlindungan.

“Kita akan terus mengenal pasti elemen-elemen WTK negara yang boleh diketengah dan disenaraikan pada masa hadapan,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Abdul Latif bertanya mengenai usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), memartabatkan WTK negara bagi memastikan ia kekal terpelihara dan pada masa sama boleh menjadi produk untuk penjanaan ekonomi rakyat setempat dan negara.

Sementara itu Nancy berkata, Malaysia menerusi MOTAC mencatat sejarah yang amat membanggakan di peringkat antarabangsa apabila julung kali terpilih menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGCICH) untuk sesi 2022-2026.

Katanya, Malaysia menang bertanding dalam kumpulan negara Asia Pasifik dengan meraih 110 daripada 132 undi keseluruhan.

“Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan kerana kepakaran serta keupayaan Malaysia diiktiraf dan diyakini untuk turut sama menentukan hala tuju perlindungan WTK dunia melalui jawatankuasa di peringkat UNESCO,” katanya.

Menurutnya, pewartaan serta pengiktirafan WTK bukan sahaja memberi manfaat dari segi usaha dan pelan perlindungan warisan, tetapi memberi tumpuan terhadap sesuatu WTK itu, yang seterusnya boleh diambil peluang untuk menjana pendapatan. – HARAKAHDAILY 19/7/22

- Advertisement -