TG Abdul Hadi redakan fenomena hina Islam dan takfir

- Advertisement -

FITNAH panjang yang selalu diulang-ulang terhadap sosok tubuh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) sebagai pencetus fenomena kafir-mengkafir yang dikaitkan dengan Amanat Haji Hadi. 

Rupanya TGHH adalah penentang tegar fenomena kafir mengkafir dan fenomena penghinaan terhadap hukum Allah S.W.T. 

Pasca kemerdekaan lagi, wujudnya kelompok Islam jahil yang menghina hukum Islam secara terbuka dengan kata, ‘Hudud Zalim’ ‘Laksana Hudud, Boleh Buat Sup Tangan’ ‘Habis Batu di Malaysia Buat Rejam’.

Reaksi balas dari satu kelompok lagi, mengkafirkan mereka yang menghina Islam dan hukum-hakam Islam. Ini suasana yang ada ketika itu. 

TGHH hadir untuk mengharmonikan dua jalur keras ini. Malah beliau telah diminta oleh Dato’ Asri Muda menulis satu kertas kerja untuk berkenaan masalah ini. 

Maka 1978 keluarlah satu kertas kerja bertajuk Batas-batas Iman dan Kufur. Kemudiannya pada tahun 1982 kertas kerja ini dibukukan (Pustaka Damai). 

Tak henti di situ tahun 1984 dipanjangkan lagi buku ini dan diberi nama Muqaddimah Aqidah Muslimin (Penerbitan Gedung Ummah). 

Tiba-tiba 1983 disebar Amanat Haji Hadi dan sengaja dikaitkan dengan kafir mengkafir. Sedangkan TGHH lah yang berusaha meredakan fenomena tidak sihat itu. 

Setelah itu TGHH menulis pula siri Aqidah Muslimin yang menyentuh Rukun Iman, 6 Rukun dengan 5 buah buku terbitan Pustaka Aman Press. 

1988 – Beriman Kepada Allah

1989 – Beriman Kepada Rasul

1990 – Beriman Kepada Malaikat dan Kitabullah

1991 – Beriman Kepada Hari Akhirat

1991 – Beriman Kepada Qada’ dan Qadar

Nah, begitu sekali TGHH mahu menjaga Aqidah umat Islam sehingga ditulis  bertubi-tubi perihal aqidah umat agar tidak ada penghinaan soal Islam dan juga bermudah dalam mengeluarkan orang dari Islam. 

Hari ini kita dapat lihat dan sudah rasai tiada lagi kelompok yang secara jelas menghina hukum-hakam Islam terutamanya hudud dan juga bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang. 

Jika ada pun individu yang hina Islam pada hari ini, boleh kata tak lama, hari ini atau esok kena cekup sama ada oleh polis mahupun oleh orang awam. 

Menunjukkan, kesedaran umat Islam pada ketika dan saat ini sudah semakin baik dan tidak lagi bermudah-mudah, sama ada hina atau takfir. Ini suatu nikmat yang besar.

Maka, tidak peliklah kenapa bila ditanya kepada TGHH, dalam banyak-banyak buku yang beliau tulis, buku mana yang paling meninggalkan kesan. 

TGHH jawab buku Batas-batas Iman dan Kufur, kerana bermula dari penulisan ini dan siri-sirinya telah dapat meredakan dan mengharmonikan dua jalur keras di Malaysia. 

“Ini saya anggap sebagai satu kejayaan yang sangat penting kepada saya hasil tulisan yang itu. Walaupun buku ini dibawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) didesak diharam beberapa kali.”

Maka, kita hairan bagaimana ada yang percaya Amanat Haji Hadi itu menjadi pencetus kepada fenomena kafir mengkafir. Walhal tuan badan inilah berpuluh tahun melawan penghinaan Islam dan kafir mengkafir. 

Semoga Pustaka Permata Ummah dapat terbitkan kembali dengan lebih segar siri Aqidah Muslimin bermula dengan Muqaddimahnya secara set lengkap. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -